Kesemua anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diingatkan untuk berhenti meletakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai barometer tunggal mengenai keampuhan ekonomi serantau.

Pengarah Unit Sokongan Polisi APEC, Dr Denis Hew berkata wujud peningkatan konsensus dalam forum APEC mengenai keperluan polisi sokongan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, terjamin, saksama, inovatif serta mampan.

Ujarnya, ia merupakan sebahagian daripada apa yang APEC dikenali iaitu mengenepikan halangan dalam perdagangan merentasi sempadan sekali gus lebih cenderung ke arah pertumbuhan ekonomi.

"Analisa Trend Serantau APEC terkini yang merupakan laporan tahunan oleh Unit Sokongan Polisi APEC, telah meneroka batasan KDNK ekoran peningkatan kepentingan oleh kerjasama itu.

"KNDK tidak mengukur faktor ekonomi yang diperlukan dalam menjadikan sesebuah ekonomi itu lebih adil dan lebih mampan. KDNK semata-mata tidak mengukur, sebagai contoh, kesan alam persekitaran dan potensi ketidaksamaan dalam pengagihan barangan dan perkhidmatan, terutamanya dalam ekonomi tidak formal.

"Ia juga tidak mengambil kira peningkatan perkhidmatan digital percuma, dan juga kewujudan perkhidmatan ibu bapa dan sukarelawan. KDNK juga gagal mengukur kualiti barangan dan perkhidmatan dalam tetapan masing-masing," katanya menerusi artikel yang diterbitkan Sekretariat APEC, baru-baru ini.

Jelasnya, ahli ekonomi yang memenangi Anugerah Nobel, Simon Kuznets, juga telah memberi amaran bahawa wujud kekangan dalam mengukur prestasi sesebuah ekonomi hingga boleh berlakunya salah tafsir jika bergantung penuh kepada KDNK.

"Barangkali, secara paling signifikan, ketika kesemua ekonomi pelbagai saiz mula menerima era internet secara penuh, KDNK hanya boleh mengukur pertumbuhan dan kejayaan dalam mata wang yang ketara, melepasi impak pertumbuhan dari ekonomi digital.

"Ia tidak boleh diharapkan untuk apa jua yang melepasi transaksi wang, seperti simpanan cloud, aplikasi pandu arah, serta perkhidmatan penstriman.

"KDNK juga hanya berfungsi dalam lingkungan sempadan ekonomi, sekali gus menjadikannya model lapuk dalam mengukur pasaran digital yang hampir tiada sempadan," tambahnya.

Malah, jelasnya anggota ekonomi tidak boleh mengenepikan latar belakang perbincangan polisi ekonomi zaman moden seperti kemampanan, keterangkuman serta pengagihan.

"Salah satu daripadanya, Indeks Pembangunan Insan (HDI), lebih mengkaji taraf kehidupan berdasarkan pengetahuan, kesihatan, serta keadaan material sesebuah populasi.

"HDI dijana Laporan Pembangunan Insan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, entiti terbaharu untuk mengkaji bukti generasi ketidaksaksamaan yang baharu dalam gelombang terkini mengenai pergolakan sosial, serta isu yang semakin timbul seperti pendidikan, teknologi serta perubahan alam sekitar.

"Indeks Ketidaksamaan Jantina, satu lagi pilihan untuk melengkapi KNDK, berupaya mengukur potensi perbezaan dalam akses kepada peluang ekonomi di kalangan lelaki dan wanita. KDNK Hijau (Green GDP) mengambil kira penyusutan alam sekitar serta kemerosotan sumber alam semula jadi.
"KNDK yang diperluaskan atau Expanded GDP mengira nilai ekonomi perkhidmatan digital percuma. Petunjuk Kemajuan Tulen (GPI) mengambil kira tenaga buruh domestik, serta pelarasan ekoran impak alam sekitar, ketidaksamaan, serta kehilangan masa lapang. Indeks Kekayaan Inklusif (IWI) pula mengambil kira manusia, sumber asli, serta kapita fizikal, walaupun ia mengambil pandangan yang lebih jauh mengenai kemampanan," katanya.
Jelasnya, kesemua kaedah itu tidak bertujuan untuk mengambil alih secara menyeluruh KDNK sebagai kaedah pengukuran ekonomi, tetapi ia mampu mengenepikan monopoli ke atas perbincangan polisi ekonomi.