KUALA LUMPUR: Nautilus Resort, sebuah resort mewah di Langkawi di bawah jenama Curio Collection by Hilton, dijangka mula beroperasi pada Mac 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan Plus Max Group of Companies Datuk Prakadeesh Kumar berkata resort bertaraf lima bintang dengan 250 buah bilik terletak di tengah-tengah Pantai Cenang itu, mula dibina pada 2019 dan dijangka siap pada akhir 2023.

Plus Max Group of Companies adalah pelabur bersama dalam Nautilus Resort.

"Saya yakin resort itu akan menjadi pilihan utama dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa di Langkawi, lokasi yang indah dan tapak Geopark Unesco yang pertama di Asia Tenggara.

"Pembukaan resort baharu itu bukan sahaja akan membantu memacu ekonomi dan pelancongan Malaysia tetapi kami juga komited untuk menyumbang secara positif dan menyediakan peluang pekerjaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis makan malam penghargaan dan majlis pelancaran produk di sini baru-baru ini.

Prakadeesh berkata pembukaan resort bernilai RM200 juta itu akan menambah tarikan terhadap komuniti di Langkawi dan dirangka untuk menarik generasi baharu perniagaan domestik dan antarabangsa serta pelancong dan keluarga yang mencari pengalaman sebenar.

"Tempoh COVID-19 merupakan cabaran yang sukar untuk semua, terutamanya bagi industri pelancongan. Walaupun berdepan cabaran, Plus Max Group of Companies mencatatkan jualan melebihi RM1.6 bilion pada tahun lepas," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Prakadeesh berkata Plus Max Group of Companies telah membeli sebidang tanah seluas 83.2 hektar (208 ekar) di Seberang Perai, Pulau Pinang, untuk dibangunkan menjadi taman perindustrian dengan kerjasama pemaju tempatan.

"Kami akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia apabila ia siap," katanya.

Plus Max Group of Companies telah berkembang sejak 26 tahun lepas dalam beberapa sektor, termasuk pendidikan, infrastruktur, minyak dan gas, hospitaliti, logistik dan pelancongan.

-- BERNAMA