LAHAD DATU: Polis menahan empat lelaki berusia lingkungan 20-an, termasuk seorang warga asing, bagi membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes tersebut dilaporkan selepas kejadian itu diketahui oleh ahli keluarga mangsa yang kemudian tampil membuat laporan polis.
Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 9 Mei di sebuah rumah di sebuah kampung di Batu 1, Jalan Segama.
“Bertindak atas laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan empat suspek bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol seseorang wanita yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan wanita tersebut.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial dan menjadi mangsa jenayah.
“Kerjasama keluarga dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan golongan remaja sentiasa terpelihara,” katanya.