KUALA LUMPUR: Nilai ringgit bertambah sebanyak 0.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 1 Oktober hingga 9 November, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Menurutnya, ia sejajar dengan trend mata wang serantau yang lain dan katanya, ringgit terus disokong oleh prospek dalam negara yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi dan kenaikan harga komoditi.

Nor Shamsiah berkata dalam tempoh Julai hingga September, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS, sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas.

Ia berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan AS bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir tahun 2021.

BACA: Ekonomi Malaysia menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga 2021

“Sejak 1 Oktober, ringgit nilai bertambah berbanding dolar AS di tengah-tengah prospek ekonomi domestik yang bertambah baik dan harga komoditi yang lebih tinggi.

“KLCI (Bursa Malaysia) bagaimanapun telah merosot sedikit apabila peserta berterusan melihat kesan daripada pengumuman penting daripada Bajet 2022,” katanya.

Tambah beliau, pasaran kewangan pada masa hadapan dijangka mengalami volatiliti yang berkala.

Jelasnya, ia disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang turut disertai Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.


Ekonomi | KDNK diunjurkan antara 3 hingga 4 peratus

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan KDNK Malaysia merosot sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga tahun 2021.

Penurunan itu disumbang pelaksanaan semula langkah pembendungan COVID-19 yang ketat di seluruh negara pada Julai lalu.

Begitupun Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia pada tahun 2021 masih berada pada landasan untuk mencapai unjuran tiga hingga empat peratus.