KUALA LUMPUR: Permintaan baharu bagi mata wang tempatan seiring dengan peningkatan semula dalam pasaran ekuiti mendorong nilai ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4700/4750 berbanding dolar AS daripada 4.4765/4780 pada penutup Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari sudut teknikal, ringgit sudah berada dalam kedudukan terlebih jual berbanding dolar AS, sekali gus menunjukkan kemungkinan berlakunya kenaikan dalam jangka masa terdekat.

Antara yang penting minggu ini untuk hala tuju mata wang adalah pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada Jumaat dan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.

"Kami percaya (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa kerana mereka mungkin perlu perlu melihat kesan selepas kenaikan tahun lalu.

"Juga, hala tuju mungkin lebih jelas sebaik sahaja BNM mengumumkan laporan tahunannya.

"Buat masa ini, kami mengunjurkan ringgit terus bergerak dalam julat ketat sekitar RM4.47 hingga RM4.48 berbanding dolar AS kerana kebimbangan terhadap trend kadar faedah oleh Rizab Persekutuan akan terus menentukan hala tuju pasaran," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.7507/7560 daripada 4.7487/7503 pada Jumaat lepas dan lemah berbanding yen Jepun menjadi 3.2904/2943 daripada 3.2877/2890.

Ringgit turut merosot berbanding pound Britain kepada 5.3770/3830 daripada 5.3642/3660 sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 4.7507/7560 daripada 4.7487/7503.

Mata wang tempatan bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3229/3271 daripada 3.3255/3269 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.15/8.17 daripada 8.16/8.17.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 291.9/292.4 daripada 292.30/292.60 sebelum ini tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.9183/9406 daripada 12.8998/9105.

-- BERNAMA