Strategi Biomass Negara 2020 (NBS2020) mensasarkan permintaan pelet biomass Asia mencecah 10 juta tan metrik setahun menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Mark Rozario berkata, angka itu didorong dasar tenaga boleh diperbaharui di Korea, Jepun dan China.

''Kontrak jangka panjang pelet biasanya untuk tempoh tiga sehingga lima tahun dengan jumlah tidak kurang dari 50 ribu tan pelet setahun.

''Nilai kontrak industri itu secara keseluruhan kini boleh mencapai 20 juta ringgit setahun,'' katanya.

Mark berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) AIM dengan syarikat dari China dan Korea.

MOU itu bakal memenuhi sasaran tenaga boleh diperbaharui di kedua-dua negara berkenaan.

Jelas Mark, antara petunjuk kejayaan NBS2020 adalah pembukaan kilang bio-etanol pertama Asia di Tawau.

Selain itu, ia turut melibatkan kajian yang dijalankan di Bintulu bagi pembukaan kilang biomass berskala komersial yang pertama dan terbesar di Asia.

NBS2020 versi 2.0 dilancarkan pada Jun tahun ini di Sabah. Ia menyediakan maklumat terkini mengenai kemajuan teknologi, pergerakan industri tempatan dan antarabangsa yang disokong informasi terkini.

Jelas Mark, semua inisiatif melibatkan pemilik biomass negara dan pembangunan kepakaran tempatan di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

``Pasukan penggerak NBS2020 telah menerima permintaan dan pelawaan daripada negara-negara lain di Asia tenggara dan Timur Tengah untuk membantu mereka membangunkan Strategi Biomass Negara di negara masing-masing,'' ujarnya.

Keutamaan utama Pasukan penggerak NBS2020 adalah memberi kemudahan dan persekitaran yang kondusif untuk merealisasikan matlamat negara untuk menjadi peneraju serantau dalam industri berkaitan biomass baru.