PUTRAJAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh dikekalkan pada 2.75 peratus jika kadar inflasi negara mampu mereda dalam tempoh beberapa bulan ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengguna khususnya perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kedudukan inflasi di negara ini.

"Sebab itu juga saya terus bercerita tentang peranan pengguna mengenai inflasi. Kalau Kerajaan ambil keputusan bantu rakyat dengan mengekalkan OPR, dan kalau BNM mengekalkan keputusan OPR kepada 2.75 peratus dan sebagainya, risikonya ialah itu akan mendorong inflasi lagi.

"Sebab itu, kita kekalkan OPR 2.75 peratus kalau keputusan BNM begitu dan untuk masa akan datang, kalau OPR 2.75 peratus, maka  inflasi kekal mereda dalam Januari, Februari, itu akan menunjukkan OPR boleh kekal pada 2.75 peratus untuk kita meredakan inflasi," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu. 

Justeru, beliau melihat semua pihak perlu bersama-sama melakukan sesuatu terhadap harga makanan dan barangan bagi meredakan inflasi negara. 

"It's a win win kepada orang ramai dan negara, sebab itu penting untuk kita melakukan sesuatu mengenai harga barang makanan dan barang siap yang kita beli di hotel, kerana ini adalah the main component that drives the inflation," ujarnya. 

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut sejak Mei tahun lalu.

Kenaikan OPR bermula pada Mei, Julai, September dan November dengan peningkatan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.