KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0 peratus baru-baru ini dijangka tidak akan memberi kesan negatif ke atas pelanggan individu dan koperasi di bawah Coop Bank Pertama (CBP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, ini berikutan institusi kewangan itu mengambil langkah berhati-hati dalam usaha menyokong ekonomi negara biarpun ketika tempoh sukar akibat pandemik COVID-19 tanpa mengenepikan kepentingan pelanggan.

“OPR mengambil kira daripada keadaan ekonomi yang sedang pulih dan aspek daripada sudut simpanan.

“CBP tetap menekankan kepentingan dalam memberi pulangan balik kepada pelanggan dan selari dengan keperluan kenaikan OPR yang diumumkan Bank Negara.

“Pada pandangan saya, kenaikan peratusan komitmen dikenakan berdasarkan kemampuan pelanggan untuk membayar dan jumlahnya agak relevan dan rendah untuk ditanggung pelanggan baik individu atau koperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: BNM naikkan OPR kepada 2.0 peratus

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus.

BNM turut memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut meningkat masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Menurut BNM, kenaikan kadar tersebut antara lain didorong oleh pembukaan semula ekonomi global dan penambahbaikan dalam pasaran buruh yang terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairil menjelaskan berkenaan produk perkhidmatan ditawarkan CBP yang mana terdapat dua kategori iaitu baharu dan tambahan bagi sedia ada.

“Sebagai contoh bagi produk sedia ada, untuk pinjaman perumahan CBP sudah menjalinkan kerjasama dengan hampir 10 peneraju perumahan terkemuka bahkan menambah beberapa lagi bagi memberikan perkhidmatan pinjaman.

“Sementara itu, bagi produk baharu pula kami masih dalam perancangan untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan adalah terbaik selain mementingkan kebajikan pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

“Kempen Raya 2 Raya CBP bermula April hingga Disember 2022, juga diperluaskan secara holistik dengan meliputi semua produk CBP antaranya produk perbankan runcit, produk koperasi, dan produk perkhidmatan yang lain,” katanya.