Skip to main content

Bisnes

Pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada suku pertama 2026 - DOSM

71729269965_HBREAKEKONOMINEGARA.jpg
Secara keseluruhan, prestasi positif pasaran buruh mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, namun langkah berterusan diperlukan bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dikeluarkan hari ini menunjukkan jumlah tenaga buruh meningkat 0.9 peratus tahun ke tahun kepada 17.23 juta orang, dengan kadar penyertaan tenaga buruh naik kepada 70.9 peratus.

Bilangan penduduk bekerja turut berkembang 1.0 peratus kepada 16.73 juta orang, manakala kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus melibatkan 506,500 individu.

Menurut laporan tersebut, keadaan ini mencerminkan kekuatan permintaan domestik yang berterusan.

“Pasaran buruh Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.

Pada masa sama, bilangan pekerja yang bekerja kurang 30 jam seminggu menurun 4.1 peratus kepada 231,600 orang, menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan sepenuh masa.

Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran juga berkurang kepada 35.2 peratus, manakala kadar tidak penuh berkaitan masa menurun kepada 0.7 peratus.

Dari sudut permintaan buruh, jumlah jawatan meningkat 1.8 peratus kepada 9.23 juta, dengan 97.9 peratus daripadanya telah diisi.

Selain itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 4.4 peratus tahun sebelumnya, disokong peningkatan produktiviti buruh sebanyak 4.3 peratus kepada RM26,171 bagi setiap pekerja.

“Usaha berterusan perlu dipergiat untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh pembangunan kemahiran serta memastikan pertumbuhan pasaran buruh yang lebih inklusif dan mampan,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhan, prestasi positif pasaran buruh mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh, namun langkah berterusan diperlukan bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global.

Must Watch Video

Advertisement