Pasaran wang tempatan dijangka kukuh minggu depan berikutan jangkaan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan tunai.

Bank pusat itu juga dijangka terus campur tangan dengan tender harian bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada pasaran.

Bagi minggu dagangan singkat berikutan cuti umum lepas, BNM campur tangan setiap hari dengan mengendalikan tender pasaran wang konvensional, program komoditi Murabahah, Qard dan repo.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti tahun baharu.

Pada Khamis, tindakan bank pusat itu membantu mengurangkan lebihan dagangan pasaran kepada RM37.92 bilion dalam sistem konvensional dan dana Islam RM11.65 bilion.

Kadar rujukan Islam semalaman pada 3.21 peratus manakala kadar bagi seminggu, dua minggu dan tiga minggu disandarkan pada 3.30 peratus, 3.35 peratus dan 3.39 peratus.

Sementara itu, penanda aras kadar antara bank tiga bulan pada 3.84 peratus.