KUALA LUMPUR: Pegangan saham asing dalam pasaran ekuiti Malaysia kekal stabil melebihi 20 peratus tetapi merosot kepada 20.2 peratus pada 2022 berbanding paras sebelum pandemik sebanyak 22.3 peratus pada 2019.

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata walaupun perbezaannya hanya sebanyak dua peratus, ia agak mencabar untuk menyaksikan pelaburan asing kembali kepada paras sebelum pandemik pada akhir tahun ini berikutan pasaran global semasa yang tidak menentu.

Katanya, akan terdapat banyak pergerakan dana antara pasaran sedang pesat membangun dan pasaran lebih maju berikutan kenaikan kadar faedah AS disebabkan akan terdapat peralihan kepada aset selamat dan aset dolar AS.

"Ini akan menjejaskan pasaran sedang pesat membangun. Bagaimanapun, apabila dasar monetari global kembali normal, negara-negara yang mempunyai institusi kewangan yang kukuh akan cenderung mendapat manfaat. Malaysia telah menyaksikan aliran masuk ke dalam saham perbankan.

"Oleh itu, dengan jangkaan normalisasi kadar faedah di sini di Malaysia juga, lebih ramai pelabur akan memasuki sektor perkhidmatan kewangan.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan mencapai paras sebelum pandemik," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLC) ketiga bertajuk "Strengthening Stakeholders Management and Investor Relations (IR)" di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkongsi bahawa 20.2 peratus paras aliran masuk asing pada masa ini telah berada pada tahap yang rendah dan melihat kepada trend dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, ia merupakan pelaburan asing positif bersih, dengan aliran masuk sebanyak RM6.2 bilion setakat ini.

Oleh itu, Abdul Wahid percaya jika ekonomi bertambah baik dan PLC mencatatkan prestasi yang baik, peratusan pegangan saham akan mula pulih.

"Prestasi indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI yang hanya melepasi paras 1,500 pada masa ini perlu ditingkatkan untuk pasaran meluas bagi menarik perhatian pelabur.

"Berikutan itu, adalah jelas bahawa Korporat Malaysia perlu meningkatkan prestasi, terutamanya disebabkan persaingan global yang semakin memuncak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata Malaysia menikmati pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, didorong prestasi eksport yang teguh serta permintaan domestik.

"Pada masa depan, Malaysia akan dapat menyaksikan syarikat untuk meraih semula keuntungan. Jika anda melihat kepada nilai PLC Malaysia pada masa ini, itulah sebabnya pelabur asing membuat pembelian. Kita mempunyai nilai yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kemampuan untuk meningkatkan modal di pasaran domestik masih kukuh seperti yang dapat dilihat terhadap prestasi 24 tawaran awam awal di Bursa Malaysia setakat ini, dengan 21 daripadanya diniagakan melebihi harga tawaran.

Mengulas mengenai pelancaran buku panduan ketiga yang dilancarkan semalam, beliau berkata IR yang baik merupakan aspek utama untuk membantu syarikat tersenarai meningkatkan keberadaan mereka, mendapat akses lanjut kepada modal serta menerima penilaian syarikat yang lebih baik.

"Dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif, pelabur juga mahukan lebih ketelusan dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus sebelum melabur di sesebuah syarikat.

"Jadi, kami turut memberi tumpuan dalam menggalakkan syarikat untuk berbincang dengan pelabur. Inilah antara maklumat yang terkandung dalam buku panduan ketiga ini," katanya.

Buku panduan ketiga ini merangkumi aspek yang berlainan bagi pengurusan pihak berkepentingan dan IR yang efektif serta krisis komunikasi apabila terlibat dengan pelbagai kumpulan pihak berkepentingan sesebuah syarikat, termasuk panduan untuk membangunkan pendekatan komunikasi krisis yang kukuh, mengendalikan IR serta contoh amalan baik dalam pengurusan pihak berkepentingan.

Penggunaan syor yang terkandung dalam buku panduan ini akan membantu memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai PLC dalam kalangan komuniti pelabur.

-- BERNAMA