HYEDERABAD: Walaupun Malaysia sudah memperoleh hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026, peminat bola sepak di India dan China masih tidak pasti bila perjanjian akan dimeterai bagi membolehkan mereka menonton kejohanan itu.
Dianjur bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Piala Dunia itu hanya tinggal lebih sebulan lagi, namun perjanjian penyiaran masih belum dimuktamadkan di dua negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Kejohanan akan bermula dengan perlawanan Mexico menentang Afrika Selatan pada 11 Jun di Stadium Azteca manakala perlawanan pertama di Amerika Syarikat akan berlangsung di Inglewood pada 12 Jun.
Platform penstriman video dalam talian India, JioHotstar, dilaporkan sedang dalam rundingan lanjut bagi mendapatkan hak penyiaran dengan badan induk bola sepak dunia, FIFA, selepas dua mesyuarat diadakan minggu lepas, menurut laporan media India.
FIFA dilaporkan berminat memeterai perjanjian minggu ini pada nilai sekitar AS$20 juta selepas mengurangkan dengan ketara harga asal yang diminta memandangkan masa rundingan semakin suntuk.
Kerajaan Malaysia memperuntukkan RM24 juta bagi perjanjian hak penyiaran Piala Dunia itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV akan menjadi penyiar rasmi Piala Dunia di Malaysia.
FIFA sebelum ini mahu menjual hak penyiaran di India bagi Piala Dunia 2026 dan 2030 pada harga AS$100 juta tetapi menurunkan harga kepada AS$35 juta selepas gagal mendapatkan pembeli, menurut laporan itu.
Viacom18, yang menjadi sebahagian daripada JioStar selepas penggabungan pada 2024, dilaporkan membayar sekitar AS$60 juta untuk hak siaran Piala Dunia 2022 di Qatar.
Waktu perlawanan yang berlangsung selepas tengah malam di India menjadikan kejohanan di Amerika Utara itu kurang menguntungkan dari segi komersial kepada pembida dan pengiklan India.
Potensi pendapatan pengiklanan bagi pemegang hak siaran di India juga mungkin terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Di China pula, FIFA sedang berunding dengan China Central Television (CCTV) untuk perjanjian penyiaran.
FIFA pada mulanya meminta antara AS$250 juta hingga AS$300 juta daripada CCTV sedangkan belanjawan CCTV hanya sekitar AS$60 juta hingga AS$80 juta, menurut laporan media China.
All India Football Federation (AIFF) optimis kebuntuan di India akan berakhir tidak lama lagi, menurut laporan laman sesawang India Today pada Khamis.
“Sama ada FIFA perlu menurunkan sedikit lagi harga, atau penyiar yang membida perlu menaikkan tawaran mereka sedikit. Saya tidak fikir sesiapa akan mengabaikan pasaran besar seperti India,” kata Timbalan Setiausaha Agung AIFF, M. Satyanarayan.
Sebanyak 48 pasukan akan beraksi dalam kejohanan bulan depan berbanding 32 pasukan pada edisi di Qatar.
Jumlah perlawanan yang bakal berlangsung ialah 104 berbanding 64 perlawanan pada kejohanan sebelumnya.
-- BERNAMA