Pekerja asing menawarkan kemahiran penting dan ini boleh membantu Malaysia menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Menurut Pengarah Rantau Asia Tenggara, Kumpulan Bank Dunia, Dr Ulrich Zachau, peningkatan bersih pekerja asing berkemahiran rendah sebanyak 10 peratus dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke hampir 1.1 peratus.

Tambah beliau Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 2016, mencadangkan satu sistem yang menghubungkan imigran kepada permintaan pekerjaan dalam perniagaan di Malaysia.

Sistem ini menjadikan mereka lebih produktif dalam ekonomi serta melindungi tenaga kerja kurang pakar Malaysia dan asing.

"Di Malaysia terdapat 2.1 juta pendatang asing yang mempunyai dokumen sah dan melalui analisis kita, kesimpulannya pendatang asing boleh membantu," kata Ulrich.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar berkata produktiviti adalah kunci pelaksanaan sasaran pertumbuhan Rancangan Malaysia Ke-11.

Produktiviti pekerja disasar berkembang secara purata sebanyak 3.7 peratus setahun.

Menurut Abdul Wahid, peningkatan produktiviti serta pekerjaan berpendapatan tinggi akan turut memastikan matlamat menaikkan pendapatan sebagai peratusan di dalam KDNK iaitu daripada 34.9 peratus pada 2015 kepada 40 peratus menjelang 2020.

Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 2016 oleh Bank Dunia menumpukan aspek peranan kritikal pekerja asing dalam mengisi jurang serta kekosongan pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Menurut laporan tersebut ini akan membantu meningkatkan KDNK negara serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata hukuman membawa masuk pekerja asing tanpa dokumen sah akan dikaji semula.

Hukuman yang sedia ada iaitu RM5,000 akan ditingkatkan melebihi RM10, 000.

Beliau berkata ini akan membantu menangani masalah pekerja asing yang memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Tambah Paul, kajian semula hukuman ini akan dikuatkuasakan separuh pertama tahun hadapan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata levi bagi kemasukan pendatang asing juga akan dikaji semula.

Menurut Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 2015, hanya 2.1 juta pendatang asing mempunyai dokumen yang sah dan dijangka sebanyak 1 juta pendatang asing tidak mempunyai dokumen sah.