KUALA LUMPUR: Kalangan pelabur asing mengekalkan aliran belian bersih di Bursa Malaysia dengan mencatat aliran masuk dana sebanyak RM352.9 juta -- belian bersih bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research.

Dalam laporan aliran dana untuk minggu berakhir 16 Feb, 2024 yang dikeluarkan hari ini, cabang penyelidikan MIDF Investment Bank Bhd itu berkata Selasa lepas menyaksikan aliran masuk dana tertinggi sebanyak RM193.0 juta.

Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM143.6 juta); telekomunikasi dan media (RM95.0 juta) serta teknologi (RM61.4 juta) manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi meliputi utiliti (-RM29.0 juta), unit amanah pelaburan hartanah atau REIT (-RM19.1 juta) dan pembinaan (-RM16.3 juta).

Institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih ekuiti domestik bagi minggu keempat berturut-turut, berjumlah RM277.5 juta.

MIDF Research berkata bagi minggu kedua berturut-turut, peruncit tempatan terus konsisten dari segi corak jualan bersih ekuiti domestik dengan jumlah jualan mencecah -RM75.5 juta pada minggu lepas.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit dan institusi tempatan meningkat iaitu masing-masing pada 12.1 peratus dan 15.0 peratus manakala pelabur asing susut -11.4 peratus.

Bagi aliran masuk dana ke Asia, pemantauan bank pelaburan itu ke atas lapan pasaran ekuiti Asia menunjukkan pelabur asing mengekalkan jualan bersih pada US$3.40 bilion dengan aliran masuk asing yang signifikan menumpukan Taiwan dan Korea Selatan.

-- BERNAMA