Industri peralatan farmaseutikal dan perubatan akan terus mendapat perhatian kerajaan berikutan perkembangan potensinya, dengan sejumlah 42 projek diluluskan pada 2014 yang mencecah nilai pelaburan RM2.15 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog bersama Persatuan-Persatuan Industri Peralatan Farmaseutikal dan Perubatan di kementeriannya hari ini.

Mustapa antara lain menyatakan bahawa industri peralatan perubatan menunjukkan potensi pertumbuhan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Bagi MITI, industri ini salah satu industri yang diberi keutamaan kerana ia memperlihatkan kemajuan yang menggalakkan. Pelaburan domestik dalam peralatan perubatan berjumlah RM1.2 bilion manakala pelaburan asing pula berjumlah RM950.6 juta,” ujar beliau.

Antara tahun 2010 hingga 2014, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi industri tersebut adalah sebanyak RM11 bilion, manakala eksport pada 2014 telah meningkat kepada RM13.4 bilion berbanding RM11.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Dalam sesi ini kita juga mengambil peluang untuk menekankan betapa sektor ini boleh menyumbang dalam nilai eksport, pelaburan dan juga peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Menurutnya, peluang tersebut adalah untuk diraih rakyat Malaysia kerana ia hadir dalam bentuk pengambilan pekerja dan peluang perniagaan termasuk bagi pengusaha kecil dan sederhana.

Dialog tersebut antara lain menyentuh tentang insentif, perolehan kerajaan, hak intelek, kewangan cukai barang dan perkhidmatan (GST), ujian klinikal, penyelidikan dan pembangunan dan hal-hal berkaitan lain.

Kerajaan juga, menurut Mustapa, mengenal pasti potensi pasaran yang berkembang di rantau ASEAN.

Potensi pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh keperluan sebuah sistem kesihatan yang berdaya saing bagi menangani hal-hal seperti kawalan penyakit berjangkit, peningkatan perkhidmatan rawatan kesihatan dan penghasilan produk perubatan berkualiti.

Sesi dialog tersebut dihadiri peneraju lima persatuan industri iaitu Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Industri Perubatan Malaysia, Persatuan Peralatan Perubatan Malaysia dan Persatuan Kosmetik, Dandanan Diri dan Haruman Malaysia.