Kerajaan negeri Johor telah mengenal pasti tanah seluas 50,000 ekar (20,234 hektar) bagi memajukan lagi negeri itu khususnya dalam sektor industri kreatif.

Pengumuman pelaburan di kawasan itu dijangka akan dilakukan pada pertengahan tahun ini.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin optimis pembangunan di sekitar Sedenak itu akan menjadikannya Cyberjaya kedua.

Katanya, ia akan menarik lebih ramai pelabur antarabangsa dalam menjadikan Johor sebagai hab data global di rantau ini.

“Kita sudah mempunyai perancangan dan kenal pasti kawasan yang berpotensi seperti Iskandar Malaysia untuk menjadi Cyberjaya kedua.

“Buat masa ini, saya tidak akan sebut siapa yang akan melabur tetapi yang pasti ini merupakan satu peluang untuk kita bangunkan industri kreatif di Johor,” katanya di sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Tiong Hua di sini.

Jelas Mohamed Khaled, pembangunan itu akan meliputi institusi pengajian, pusat pembangunan penyelidikan dan sebagainya.

Menurutnya institusi pengajian berasaskan industri kreatif diperlukan bagi melahirkan pekerja berpengetahuan dan berpendapatan tinggi selaras dengan Gagasan Johor Berkemajuan.

Kerajaan negeri pada Khamis memperkenalkan Gagasan Johor Berkemajuan sebagai instrumen mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan bangsa Johor yang inklusif pada masa depan.

Gagasan itu juga merupakan satu daripada tiga agenda utama dan baharu dalam pembangunan negeri tersebut.