ROM: Jumlah penduduk yang menderita akibat kelaparan di peringkat global kekal pada tahap yang sangat membimbangkan, menurut laporan Rangkaian Global Menangani Krisis Makanan (GNAFC), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tahun lepas, seramai 266 juta penduduk di 47 negara berdepan risiko ketakjaminan makanan yang meruncing, menurut Laporan Global mengenai Krisis Makanan terbaharu oleh rangkaian itu yang diterbitkan pada Jumaat.
Advertisement
Laporan itu mendapati 10 buah negara, termasuk Afghanistan, Sudan dan Yaman, paling teruk terjejas.
Secara keseluruhan, masalah ketakjaminan makanan yang meruncing telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, dengan skala kelaparan kekal tinggi pada tahap yang mencemaskan.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa buat kali pertama dalam sejarahnya, dua pengisytiharan kebuluran telah dibuat tahun lepas – iaitu di sebahagian wilayah Semenanjung Gaza dan sebahagian wilayah Sudan.
Melihat kepada prospek tahun semasa, rangkaian itu turut memberikan gambaran yang suram. Konflik yang berterusan, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global dijangka mengekalkan situasi di kebanyakan negara pada tahap kritikal atau mungkin menjadi lebih buruk.
Khususnya, peningkatan konflik di Asia Barat dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan di negara dan wilayah tertentu. Bagaimanapun, rangkaian itu menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang tepat.
Kementerian Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Jerman telah menyertai GNAFC pada awal tahun ini. Setiausaha Negeri di kementerian itu, Niels Annen dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan itu, menggesa agar "tindakan kolektif dan selaras yang teguh" diambil segera.
-- BERNAMA-dpa