KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd melihat pelaksanaan terkini mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) antara 1 Jan dan 30 Jun 2024 sebagai neutral kepada kumpulan.

"Pelaksanaannya tidak akan memberi impak kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya," menurut syarikat elektrik itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Keputusan ICPT dibuat untuk menangani kos penjanaan tambahan berikutan harga bahan api yang tinggi digunakan untuk bekalan elektrik dari 1 Julai hingga 31 Dis 2023, katanya.

Menurut Suruhanjaya Tenaga semalam, kerajaan mengekalkan surcaj ICPT untuk semua pengguna bukan domestik antara 1 Jan hingga 30 Jun 2024.

Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM1.9 bilion untuk kategori pengguna yang terjejas bagi mengurangkan impak daripada surcaj ICPT dari 1 Jan hingga 30 Jun 2024.

Katanya 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak akan terjejas oleh pelarasan tarif elektrik untuk tempoh tersebut.

Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 600 kWh hingga 1,500 kWh tidak tertakluk kepada surcaj.

Setakat ini, kerajaan telah berjaya melaksanakan 19 kitaran ICPT sejak mekanisme itu diperkenalkan pada 2015.

-- BERNAMA