PUTRAJAYA: Pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023, melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus daripada suku ketiga 2023.

Beliau berkata perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun.

"Secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia bagi 2023 merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi perbelanjaan pelancongan domestik pada 2023, ia mencatatkan RM84.9 bilion, meningkat 32.5 peratus berbanding tahun lepas," katanya.

Menurut Mohd Uzir bagaimanapun kedua-dua statistik berkenaan masih di bawah paras prapandemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8 peratus dan perbelanjaan pelancongan domestik berkurang -17.7 peratus.

Dari segi prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku keempat 2023, beliau berkata indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus), dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).

Sementara itu, indeks hasil penginapan turut meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus manakala kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+0.7 peratus), dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).

Mohd Uzir berkata kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA