KUALA LUMPUR: Kemajuan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) berdepan dengan cabaran untuk mencipta model yang lebih berkuasa.

Ketua Kecerdasan Buatan (AI), Data & Metaverse, Pusat Revolusi Industri Keempat, Forum Ekonomi Dunia (WEF), Cathy Li berkata situasi ini berlaku kerana dunia kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan lebih banyak Unit Pemprosesan Grafik (GPU).

“Realitinya, kita berdepan dengan kekurangan sumber pengkomputeran. Kesannya, kita mungkin tidak akan mampu bangun model asas yang lebih besar untuk melatih lebih banyak Unit Pemprosesan Grafik (GPU).

Kita lihat banyak model yang berkuasa dilatih menggunakan set data yang lebih kecil, seterusnya memerlukan kuasa pengkomputeran yang lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Menurut Li, Generative Pre-trained Transformer (GPT) model terbaharu iaitu GPT5 tidak akan banyak berbeza dengan GPT4 yang ada di pasaran ketika ini.

Namun potensi teknologi AI ini sentiasa terbuka kepada pelbagai kemungkinan yang positif dan negatif bergantung kepada pengaplikasian teknologi tersebut.

“Model kecerdasan buatan (AI) yang lebih berkuasa akan memberikan kita solusi yang lebih berkuasa. Ini kerana, kita juga menggunakan AI untuk tujuan mengawal kandungan dan mengesan risiko keselamatan.

"Kita juga ingin pastikan AI ini tidak disalahgunakan dalam konteks keselamatan sesebuah negara. Usaha ini sedang berlangsung,” tambahnya.

Agenda AWANI: Tadbir urus AI, bila lagi?