KUALA LUMPUR: Pembangunan standard baharu halal Malaysia menjadi penanda aras bahawa industri halal semakin mantap di samping berkembang bukan sahaja di peringkat dalam negara malah ke persada antarabangsa.

Perkara itu dinyatakan oleh Pensyarah Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhamad Afiq Abd Razak sempena penganjuran Malaysia International Halal Showcase (MIHAS 2023), baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi acara itu Jabatan Standard Malaysia (JSM) mengadakan program 'Seminar on Halal Profession' bagi membentangkan satu standard baharu di bawah siri standard halal Malaysia.

Seminar itu dibentangkan panelis terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation Berhad (HDC), JSM, dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), katanya.

"Kupasan telah dibuat berkenaan dengan standard MS2691:2021 Halal Profession - General Requirements. Umumnya, standard ini memperincikan tentang tahap profesionalisme di dalam pembangunan kerjaya industri halal.

"Ini merupakan satu anjakan baharu dalam memperkasakan kepakaran khususnya kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang pengurusan industri halal. 

"Selanjutnya, objektif pembangunan standard ini adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerjaya, kemajuan kerjaya dalam bidang halal melalui pemerkasaan kompetensi pengamal industri halal," katanya dalam kenyataan media di sini.

Muhammad Afiq berkata, ia juga menyokong pihak berkuasa berwibawa halal dalam menyelesaikan isu-isu penting seperti pematuhan terhadap pematuhan keperluan halal, sistem pengurusan halal, dan perlindungan integriti halal.

"Ia juga melahirkan suatu bentuk kepakaran baharu, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang lestari. Hal ini selaras dengan Halal Industry Master Plan (HIMP 2030) yang menekankan aspek kebajikan rakyat Malaysia, iaitu menjadikan halal industri sebagai pembekal kepada peluang pekerjaan yang luas serta meningkatkan lagi kualiti serta keselamatan produk," katanya.

Menurutnya, usaha memantapkan kerjaya halal melalui standard ini adalah menepati kepada teras strategik dalam HIMP 2030 yang mengambil kira pembangunan bakat dan kemajuan kerjaya yang mana pengamal halal yang kompeten sebagai pendokong kepada ekosistem halal yang utuh selari dengan kerangka kerjaya halal oleh HDC.

"Memetik ucap tama yang disampaikan, berdasarkan analisis dan kajian separuh penggal terhadap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), industri halal menyumbang sebanyak 7.4% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2022, sehingga 2022, jumlah 385,558 orang tenaga kerja dalam industri halal. Hal ini pastinya dapat membuka melalui lebih banyak peluang kerjaya.

"Industri produk dan perkhidmatan halal telah berkembang bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga mendapat perhatian yang memberangsangkan di peringkat global. Melalui inisiatif seperti ini, kemahiran yang dibina opengamal industri halal juga dapat disalurkan ke peringkat antarabangsa dalam membangunkan seterusnya mewujudkan jaringan rantaian bekalan halal yang kukuh bagi memelihara integriti halal," katanya.

Justeru katanya, adalah menjadi harapan untuk standard ini memberikan nilai tambah kepada pembangunan karier eksekutif halal serta bersifat inklusif buat para akademia dalam bidang halal yang juga sama-sama menyumbang bakti kepada pembangunan ekosistem halal di Malaysia. - DagangNews.com