Perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand dijangka mendapat rangsangan daripada pembukaan semula kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan.

Pegawai Perdagangan Jabatan Perdagangan Luar dari Kementerian Perdagangan Thailand, Niwat Hansaward berkata, disebabkan pandemik COVID-19, Thailand telah menutup semua 97 pusat pemeriksaan sempadannya, termasuk sembilan di sempadan Malaysia pada akhir Mac 2020 dan ini telah menjejaskan perdagangan kerana penghantar kargo berdepan kesukaran untuk menghantar barangan.

"Bagaimanapun, pusat pemeriksaan telah dibuka semula secara beransur-ansur. Sehingga kini, terdapat 46 pusat pemeriksaan, termasuk kesemua sembilan pusat pemeriksaan di sempadan Malaysia, yang sedang beroperasi. Ini adalah satu langkah besar ke hadapan untuk meningkatkan perdagangan sempadan dan kesan positif kepada aliran barangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kerajaan Thai telah menutup kesemua sembilan pusat pemeriksaan di darat dan laut Thai-Malaysia semasa pandemik bagi mengekang penularan COVID-19. Hanya satu pusat pemeriksaan darat atau laut di setiap wilayah yang bersempadan dengan Malaysia dibuka untuk pengangkutan barangan merentasi sempadan.

Pada November tahun lalu, dua pusat pemeriksaan terakhir di sempadan Malaysia-Thai di Narathiwat, iaitu Ban Buketa-Bukit Bunga (Kelantan) dan Tak Bai-Pangkalan Kubor (Kelantan), dibuka semula. Disasarkan dua pusat pemeriksaan kastam di kawasan itu akan meningkatkan nilai perdagangan tahunan di antara Thai-Malaysia berkembang sekurang-kurangnya sebanyak 600 juta baht.

Pusat pemeriksaan lain yang telah dibuka termasuk Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis), Jeti Thammalang (Satun)-Jeti Kuala Perlis (Perlis), Padang Besar (Songkhla)-Padang Besar (Perlis), Sadao (Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah), Baan Prakob (Songkhla)-Kota Putra (Kedah), Betong (Yala)-Pengkalan Hulu (Perak), Ban Buketa (Narathiwat)-Bukit Bunga (Kelantan), Tak Bai (Narathiwat) -Pangkalan Kubor (Kelantan), Sungai Kolok (Narathiwat)-Rantau Panjang (Kelantan), Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis), Jeti Thammalang (Satun)-Jeti Kuala Perlis (Perlis), Padang Besar (Songkhla)-Padang Besar (Perlis), Sadao (Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah), Baan Prakob (Songkhla)-Kota Putra (Kedah), Betong (Yala)-Pengkalan Hulu (Perak), dan Sungai Kolok (Narathiwat)-Rantau Panjang (Kelantan).

Niwat berkata, perdagangan rentas sempadan agak perlahan tahun lalu berikutan sekatan di sempadan yang ketat serta kekurangan buruh.

"Bagaimanapun, pemulihan ekonomi global, penyusutan nilai baht, dan pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan telah meluaskan perdagangan sempadan," katanya.

Beliau memberitahu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Jurin Laksanawisit berharap untuk membuka semula semua 97 pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan Thailand bagi meningkatkan perdagangan.

Data Kementerian Perdagangan menunjukkan perdagangan sempadan Thailand dan Malaysia meningkat 37.33 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada 272.9 bilion baht dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Eksport ke Malaysia pula meningkat 51.53 peratus tahun ke tahun kepada 147.9 bilion baht manakala import meningkat 125 bilion baht dari Januari hingga Oktober tahun ini. Ini mengakibatkan lebihan dagangan sebanyak 22.9 bilion baht.

Niwat berkata perdagangan Thailand dengan tujuh negara jiran - Malaysia, Myanmar, Laos, Kemboja, China, Singapura, Vietnam dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lepas bernilai 1.42 trilion baht dan mencatatkan lonjakan tahun ke tahun sebanyak 31.72 peratus.

Beliau berkata eksport berjumlah 860 bilion Baht, meningkat 37.41 peratus manakala import bertambah 23.9 peratus kepada 564 bilion baht.

"Malaysia kekal sebagai rakan perdagangan sempadan terbesar Thailand," katanya.

Pada 2020, perdagangan sempadan secara keseluruhan merosot 1.7 peratus daripada 2019 kepada 1.31 trilion baht berikutan pandemik COVID-19 dan penutupan pusat pemeriksaan sempadan untuk membendung penularan jangkitan.

--BERNAMA