IPOH: Kalangan pemegang saham YNH Property Bhd (YNH) yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini pada Rabu, meluluskan cadangan penjualan Taman Runcit Kiara 163 dan AEON Seri Manjung kepada ALX Asset Bhd pada nilai RM422.5 juta secara tunai dalam urus niaga pihak berkaitan.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif YNH Ching Nye Mi berkata pelupusan aset itu akan mengukuhkan lagi lembaran imbangan kumpulan dan membolehkannya mendapat ruang bagi pembiayaan projek-projek lain yang melibatkan tanah simpanan serta memulakan projek utama, Menara YNH.

Beliau berkata YNH juga optimis mengenai sektor hartanah Malaysia dan mengunjurkan untuk terus menerima pendapatan sewaan kira-kira RM6.4 juta setahun daripada hartanah sedia ada di Perak, katanya dalam kenyataan kumpulan itu.

Antara projek pembangunan hartanah kumpulan itu termasuk Solasta Dutamas dan pembangunan baharu di Genting Highlands yang dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan di masa akan datang, katanya.

Pekeliling pemegang saham YNH bertarikh 10 Februari lepas menyatakan, kumpulan tersebut menyasarkan untuk mencatat pulangan bersih pro forma kira-kira RM61 juta daripada cadangan penjualan tersebut yang dijangka dapat meningkatkan aset dan perolehan bersihnya.

Hasil daripada penjualan aset itu akan digunakan bagi tujuan bayaran balik pinjaman dan sebagai modal kerja.

YNH sebelum ini menyatakan bahawa pertimbangan tunai sebanyak RM422.5 juta daripada penjualan iaitu masing-masing Taman Runcit Kiara 163 bernilai RM270.50 juta dan AEON Seri Manjung sebanyak RM152 juta.

Kedua-dua aset itu akan dibeli secara tunai oleh ALX Asset Bhd di bawah program nota jangka sederhana yang disokong oleh aset sehingga RM500 juta dalam nilai nominal.

Pengerusi YNH Datuk Dr Yu Kuan Chon dan Pengarah Urusan Datuk Yu Kuan Huat telah berkecuali daripada perbincangan di peringkat Lembaga Pengarah, mesyuarat serta pengundian mengenai resolusi berkaitan dengan cadangan penjualan itu dalam EGM berkenaan.

-- BERNAMA