KUALA LUMPUR: Pemilihan antara cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bergantung kepada objektif ekonomi negara, keupayaan pentadbiran dan keperluan untuk mencapai keseimbangan optimum antara menjana pendapatan dengan menggalakkan keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Katanya pelaksanaan SST bercirikan skop yang lebih kecil merupakan strategi berhemat dalam cukai penggunaan kerana hanya dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tertentu.

"Model GST pula meluaskan asas cukai; meningkatkan pematuhan dan ketelusan; meningkatkan kecekapan dan mesra perniagaan serta memobilisasi kutipan hasil yang cekap," katanya dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Katanya GST berpotensi menjana hasil lebih banyak dengan asas cukai yang lebih luas dan lebih telus kepada pengguna kerana cukai ditunjukkan dengan jelas dalam harga barangan dan perkhidmatan akhir.

"Di samping itu, GST boleh mengurangkan saiz ekonomi bayangan seterusnya memberikan manfaat kepada ekonomi," katanya apabila membuat perbandingan antara GST dan SST dengan teori asas dalam laporan tersebut.

Menurut MoF, secara kontras, SST mungkin menjana hasil yang rendah kerana asas cukai lebih kecil dan kurang telus kepada pengguna kerana cukai boleh dimasukkan ke dalam harga barangan dan perkhidmatan.

Katanya GST tiada kesan berganda kerana cukai ke atas input boleh dituntut dan bukan sebahagian daripada kos, tetapi bagi SST, kesan berganda terjadi apabila elemen cukai merupakan sebahagian daripada kos pada setiap peringkat dalam rantaian bekalan.

"Pada masa yang sama, dua sistem cukai berasingan yang bertindih mengakibatkan kesan berganda kerana barangan boleh dikenakan cukai dua kali," katanya.

Dari segi pelepasan untuk eksport, MoF berkata dengan GST, semua eksport adalah berkadar sifar dan ia membolehkan cukai penggunaan yang tersembunyi dikenal pasti dan layak mendapat rebat.

Namun, katanya dengan pelaksanaan SST, eksport tidak dikenakan cukai tetapi kesan cukai berganda boleh meningkatkan kos eksport.

Mengenai impak kepada pengguna, MoF berkata dengan GST, kos barangan dan perkhidmatan boleh dikurangkan kerana perniagaan dapat menuntut input kredit cukai daripada kerajaan.

Oleh itu, katanya harga akhir mungkin lebih rendah kerana tidak terkesan dengan cukai berganda.

"Cukai jualan hanya dikenakan pada peringkat pengeluar yang secara tidak langsung terkumpul sepanjang rantaian pengedaran serta ditambah elemen cukai dan kos produk yang dijual," katanya.

Mengenai pelarian dan pematuhan cukai, katanya mekanisme GST yang telus boleh menggalakkan pematuhan dan mengurangkan pelarian cukai, tetapi SST hanya dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu.

"Oleh itu, klasifikasi status sesuatu barangan atau perkhidmatan dicukai boleh menyumbang kepada isu pematuhan seterusnya menggalakkan pelarian cukai," katanya.

Mengenai birokrasi untuk bahan bebas cukai, katanya disebabkan GST ada sistem taksiran sendiri, orang yang dicukai boleh membuat tolakan input kredit cukai yang ditanggung terhadap liabiliti cukai output.

Katanya manakala dengan SST, pengilang berdaftar dikehendaki memohon sijil pengecualian untuk memperoleh barangan bebas cukai.

MoF berkata walaupun berbeza dari segi struktur, namun SST dan GST merupakan strategi fiskal yang penting kepada negara bagi membiayai keperluan operasi dan kesejahteraan rakyat.

Malaysia telah melaksanakan SST, sistem cukai satu peringkat sejak 1972, tetapi pada April 2015, ia telah digantikan oleh GST, iaitu cukai penggunaan pelbagai peringkat, pada kadar enam peratus.

Kerajaan telah melaksanakan semula SST berkuat kuasa 1 Sept, 2018 bagi menggantikan GST.

-- BERNAMA