Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran mengekalkan caruman sebanyak 11 peratus berbanding 8 peratus bagi memastikan simpanan selepas persaraan mereka mencukupi dan mengelak daripada membayar lebih cukai pendapatan.

Pengarah Eksekutif Pesekutuan Majikan Malaysia, Datuk Shamsudin Bardan berkata ia terutama bagi pencarum yang menyumbang kurang daripada RM6,000 setahun.

Tambahnya, majoriti pencarum terdiri daripada golongan berkenaan iaitu meliputi lebih 70 peratus.

Manakala pencarum yang menyumbang lebih daripada RM6,000 dalam simpanan KWSP, yang mewakili kurang daripada 30 peratus digalakkan mencarum sebanyak 8 peratus.

Bagaimanapun, Shamsudin berkata berdasarkan dapatan daripada 2008, hanya 22 peratus pencarum yang mengekalkan jumlah caruman 11 peratus berbanding 78 peratus yang menukar nilai caruman kepada 8 peratus.

Pada 2008 kerajaan telah melaksanakan polisi sama di mana potongan caruman KWSP 8 peratus adalah sebagai usaha untuk menambah pendapatan boleh guna rakyat.

Ia antara langkah kerajaan dalam mendepani krisis ekonomi dunia ketika itu.

Beliau berkata demikian pada Seminar Percukaian 2016, Isu Serta Cabarannya anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di Subang Jaya, Selangor.