KUALA LUMPUR: Sebutan semula kes bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar yang berdepan empat pertuduhan termasuk menggunakan kedudukan dan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta bersambung pada 5 Ogos depan.
Dalam prosiding pada Jumaat di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, bersama pasukan pendakwaan telah menyerahkan jilid ketiga dokumen kepada pihak pembelaan.
Peguam Abdul Aziz Hamzah ketika ditemui pemberita selepas prosiding memaklumkan, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 5 Ogos untuk pengurusan kes bagi melengkapkan serahan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
"Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan satu lagi jilid dokumen, iaitu jilid ketiga, kepada pihak pembelaan. Pendakwa raya turut memaklumkan bahawa masih terdapat satu lagi jilid tambahan yang sedang diperoleh daripada agensi berkaitan.
"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 5 Ogos bagi pengurusan kes untuk melengkapkan serahan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,"katanya.
Pada 23 Januari lalu, sebanyak 23 dokumen termasuk rakaman percakapan telah diterima pihak pembelaan dalam kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM267,481.90 bagi dirinya sendiri dengan melantik Sinar Bakti Global bagi kerja Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025 bernilai RM468,000.
Tertuduh juga melantik Sinar Raudhah Global bagi kerja “Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global untuk kerja “Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM285,000 dengan melantik QMZ Resources bagi kerja “Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM600,000 serta melantik Helmee Resources untuk kerja “Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM1,725,000 kepada TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 4 Okt 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dengan urusan akan dijalankan olehnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.