KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September lalu, meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion, yang dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun 2022.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan jumlah pendapatan pelaburan dicatatkan selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.

"Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.

"Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan sama berkata, pada suku ketiga, syarikat itu menyaksikan peralihan yang ketara dalam prestasi ekuiti global yang telah mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun itu.

Jelas beliau, perang Palestin-Israel dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan dijangka menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran. 

"Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menerukkan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora.

"Perubahan dalam sentimen pasaran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kebimbangan tentang kestabilan ekonomi China, kenaikan harga tenaga dan peningkatan hasil bon kerajaan, kesemuanya berlatarbelakangkan kemungkinan bahawa tempoh kadar faedah yang tinggi akan berlanjutan," katanya.

Beliau menambah pasaran pendapatan tetap global juga mencatatkan jumlah pulangan negatif pada suku ketiga berikutan peningkatan mendadak dalam hasil kerajaan. 

Dalam masa sama, Amir Hamzah berkata KWSP akan memantau dengan teliti perkembangan ekonomi global agar tidak memberi kesan ketara kepada portfolio pelaburannya.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, KWSP terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 365,519, menjadikan jumlah ahli KWSP sehingga 30 September 2023 sebanyak 15.99 juta.

Beliau berkata, dalam jumlah itu, sebanyak 8.53 juta adalah ahli aktif (50.4 peratus) daripada 16.93 juta tenaga buruh Malaysia.

"KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada 53peratus:47peratus setakat September 2023," katanya lagi.