Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Ahli Lembaga Pengampunan saran Najib tidak diberi tahanan rumah

Pada 10 November, Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya di Kuala Lumpur. -Gambar fail/Astro AWANI
Pada 10 November, Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya di Kuala Lumpur. -Gambar fail/Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Beberapa ahli Lembaga Pengampunan, termasuk Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan, tidak bersetuju Najib Razak diberikan tahanan rumah.
  • Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat, membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah dengan syarat membayar denda RM50 juta.
  • Pada 10 November, Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya di Kuala Lumpur.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Lembaga Pengampunan berpandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu meneruskan hukuman penjara dan tidak diberikan tahanan rumah.

Antaranya Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat berkenaan.

Perkara itu berdasarkan kandungan dokumen yang dipercayai merupakan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64, bertarikh 18 September 2026, yang diperoleh Astro AWANI.

Advertisement

Berdasarkan dokumen berkenaan, Mohd Dusuki dilaporkan berpandangan Najib perlu meneruskan hukuman penjara sehingga 2028 sebagaimana keputusan pengampunan sebelum ini.

"Beliau menyatakan bahawa keputusan ini akan memberi kesan kepada Kerajaan khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Advertisement

"Beliau menegaskan bahawa banduan hendaklah meneruskan hukuman," menurut perenggan 1.2 minit mesyuarat itu.

Sementara itu, Hannah turut menyatakan pandangannya adalah sama seperti Peguam Negara, sebagaimana pendirian yang dikemukakan dalam mesyuarat sebelum ini.

Anggota Lembaga Pengampunan yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut bersetuju dengan pandangan Peguam Negara supaya Najib meneruskan hukuman penjara, namun menyerahkan keputusan akhir kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut minit berkenaan, Razarudin turut membangkitkan faktor kesihatan Najib sebagai antara perkara yang perlu diberikan pertimbangan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Minit mesyuarat itu turut merekodkan bahawa Mohd Dusuki dan Hannah tidak memberikan sebarang komen terhadap draf syarat pengampunan yang disediakan kerana tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat tersebut.

Sementara itu, Razarudin bersama seorang lagi anggota Lembaga Pengampunan, Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju dengan syarat-syarat yang dicadangkan tanpa sebarang komen.

Pada 10 November, Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Must Watch Video

Advertisement