KUALA LUMPUR: Langkah mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mampu mengatasi cabaran persaingan yang semakin sengit dalam landskap ekononomi semasa.

Menurut, Ketua Unifi Business, Mohamad Yusman Ammeran, adaptasi tekonologi digital juga mampu meningkatkan jangkauan pasaran yang menyumbang kepada pendapatan tambahan melalui pelbagai platform e-dagang.

"Kita lihat kepada tiga faktor utama (kepentingan PMKS untuk mendigitalkan perniagaan).  Dari segi persaingan perniagaan yang semakin sengit. Bukan sahaja dalam domain tempatan. Malah peniaga luar negara turut berniaga di Malaysia.

"Yang kedua kita lihat dari segi kehendak pasaran dan pelanggan yang berubah. Kita nampak keutamaan kepada pengalaman pelanggan, cara berinteraksi dengan mereka juga berubah. Ketiga ialah tekanan kos operasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Dalam program yang sama, Pengarah Kanan (Vertikal Perkhidmatan), Sektor Pembangunan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Abdullah Sani Mohamed berkata cabaran yang dihadapi bagi peralihan ke arah digitalisasi perniagaan di Malaysia ialah kadar literasi digital yang masih rendah.

"Melalui pihak SKMM kita kenal pasti beberapa faktor... tiga yang utama ialah kadar literasi digital dalam kalangan usahawan PMKS dan masyarakat masih ada jurang antara masyarakat di bandar dan luar bandar.

"Kos adaptasi digital itu sendiri yang kita nampak masih agak tinggi. Terutama sekali selepas pandemik. PMKS masih terkesan. Ketiga, kita dapati masih terdapat kekurangan tenaga mahir digital yang mana ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, kerana kepesatan sektor digital ini sendiri," katanya.

Perkara tersebut diakui oleh usahawan dari Sabah yang juga pengasas bersama Mama Best Food, Athirah Abdul Rajak yang menyatakan pihaknya hanya memberi tumpuan kepada pendigitalan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semasa pandemik.

"Kita tidak ada kesedaran sebenarnya kepada pendigitalan sehingga PKP. Selepas PKP dikuatkuasakan, kita tidak dapat bergerak keluar dan memenuhi permintaan di luar kawasan dan pengguna tidak sedar mengenai kewujudan Mama Best Food. Di situ wujud kesedaran untuk mula memasarkan produk melalui media sosial," katanya.

Berdasarkan laporan terkini, 77 peratus PMKS di Malaysia masih di peringkat asas pendigitalan perniagaan.

Oleh yang demikian, pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk pakej-pakej yang disediakan oleh syarikat rangkaian telekomunikasi seperti Unifi Business dapat membantu merangsang kadar adaptasi digital yang lebih tinggi.