ISTANBUL: Lebih 95 peratus kapal perdagangan yang melalui Selat Hormuz berjaya merentasi laluan perairan strategik itu dengan selamat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lapor Anadolu Ajansi memetik Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Ahad.
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 95 peratus kapal yang melalui Selat Hormuz berjaya merentasinya dengan selamat meskipun berdepan tindakan agresif tanpa provokasi oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran," menurut CENTCOM dalam satu kenyataan.
CENTCOM yang menyelia operasi ketenteraan AS di rantau itu turut memaklumkan bahawa tenteranya mencapai satu pencapaian penting apabila membantu negara rakan di Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah sejak musim panas lalu.
"Kami akan terus berdiri teguh bersama rakan kami di Teluk dan industri perkapalan," kata Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper ketika mengadakan lawatan ke laluan perairan berkenaan.
Menurut CENTCOM, tentera AS telah membantu lebih 3,000 kapal dagang melalui laluan perairan strategik itu sepanjang enam bulan lepas, dengan usaha berkenaan dipertingkatkan selepas AS memusnahkan periuk api laut yang dipasang IRGC di laluan perkapalan antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU