KUANTAN: Akses kepada pendidikan dan bimbingan yang bersesuaian amat penting bagi kanak-kanak autistik, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah serta yang tinggal di kawasan luar bandar, bagi membantu mereka mengembangkan potensi sejak usia kecil.
Sehubungan dengan itu, pembinaan dua Pusat Permata Kurnia di Pahang dan Melaka serta pembukaan 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperluas akses kanak-kanak berkenaan kepada pendidikan dan sokongan mengikut keperluan masing-masing.
Pengasas dan Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Ng Chun Piew berkata, inisiatif itu berpotensi memperluas akses kepada bimbingan awal, namun, keberkesanannya bergantung kepada penyediaan kemudahan bersesuaian, tenaga pengajar terlatih dan perkhidmatan berkualiti.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, pakar, ibu bapa dan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak juga perlu diperkukuh bagi memastikan keperluan perkembangan serta kebajikan kanak-kanak autistik dapat dipenuhi.
“Harapan kami supaya pusat dan kelas disediakan kelak dilengkapi tenaga pengajar terlatih, kemudahan bersesuaian dan perkhidmatan berkualiti, di samping mengambil kira keperluan keluarga yang memerlukan.
“Ini kerana kanak-kanak ialah masa depan negara, setiap daripada mereka wajar diberikan peluang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, pengusaha tadika dan ibu kepada tiga anak istimewa Lim Suh Yin, 42, berkata, penyediaan pusat khusus untuk kanak-kanak autistik merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan kerana pengendalian anak-anak berkeperluan khas itu memerlukan pengetahuan, kemahiran dan pendekatan pembelajaran bersesuaian.
Beliau berkata, setiap kanak-kanak autistik mempunyai karakter, tingkah laku dan keperluan tersendiri, justeru tenaga pengajar perlu memahami perbezaan berkenaan bagi membantu proses pembelajaran serta perkembangan mereka.
“Bukan semua orang boleh menguruskan dan memahami anak-anak istimewa ini. Mereka memerlukan pendekatan yang berbeza dan kerana setiap anak mempunyai karakter serta keperluan tersendiri.
“Mereka yang tidak mempunyai latihan khusus mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami tingkah laku dan kaedah pembelajaran yang sesuai bagi anak autistik,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kewujudan pusat atau kelas khusus dengan tenaga pengajar terlatih dan sokongan profesional amat penting bagi membantu perkembangan golongan itu.
Ibu kepada anak autistik berusia 12 tahun, Mulya Aina Mohamad, 43, berkata, pembukaan lebih banyak kelas khusus memberi harapan kepada ibu bapa terutama keluarga berpendapatan rendah yang mungkin berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan perkhidmatan pendidikan swasta.
Menurutnya, akses kepada pendidikan awal yang bersesuaian penting bagi membolehkan kanak-kanak autistik mengikuti aktiviti pembelajaran, menerima latihan dan memperoleh sokongan berdasarkan keperluan masing-masing sebelum melangkah ke alam persekolahan.
“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke pusat swasta kerana kosnya tinggi. Bagi keluarga yang tinggal di kawasan desa pula, persoalannya ialah ke mana mereka boleh menghantar anak untuk mendapatkan pendidikan dan bimbingan yang sesuai sebelum berusia tujuh tahun.
“Jadi, pembukaan lebih banyak kelas khusus bukan sahaja membantu ibu bapa, malah memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa anak autistik memerlukan pendekatan tersendiri dan terdapat tempat yang boleh dituju untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan, dua Pusat Permata Kurnia akan dibina iaitu di Pahang dan Melaka sebagai pusat khusus untuk kanak-kanak autistik diberi pendidikan, sokongan dan latihan.
Selain itu, beliau dilaporkan berkata, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik keluarga susah mendapat bimbingan awal lebih berkesan.
-- BERNAMA