Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) akan membuat pelaburan sebanyak RM1 juta tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek ekonomi persatuan dalam bidang ternakan perikanan, termasuk pengenalan ternakan baharu iaitu ternakan udang putih.

Udang putih yang merupakan haiwan laut krustacean berkulit keras ini dijangka memberikan pulangan lumayan di mana ia kini mulai diternak di kawasan perikanan yang terletak dalam sebuah ladang di Kampung Fikri, Setiu.

Pengurusnya Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud berkata, kali ini pihaknya memberikan tumpuan utama kepada ternakan udang kerana harga udang dilihat begitu baik dan mendapat permintaan tinggi di samping ternakan sedia ada iaitu ikan talapia dan siakap.

"Kita beralih arah ke ternakan udang sebagai yang utama kerana ternakan ikan mempunyai persaingan yang tinggi hingga kadang-kala sukar untuk dijual selain kosnya makanannya tinggi berbanding udang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau juga berkata yang ternakan udang dijangka tidak mempunyai masalah dengan Penentu kini telah menternak lebih 10 tan metrik udang bernilai kira-kira RM140,000 yang dijangka dalam beberapa bulan lagi akan membesar dan dapat dijual ke pasaran seluruh negara.

Beliau berkata harga udang sekarang ialah antara RM14 dan RM15 sekilogram di ladang manakala di pasaran pula, harganya antara RM19 dan RM20 sekilogram.

Tengku Mohd Anuar berkata pada tahun ini, Penentu merancang akan menternak udang enam kolam manakala ikan siakap dan talapia masing-masing dua kolam.

Katanya, benih udang biasanya dibeli dari Thailand sementara benih ikan siakap dan ikan talapia dibeli daripada penternak tempatan, masing-masing antara 15 sen hingga 50 sen seekor.

"Sebenarnya kita (Penentu) ada 30 buah kolam kesemuanya di Kampung Fikri, tetapi 10 buah sahaja yang digunakan oleh Penentu manakala yang selebihnya disewakan kepada swasta," katanya.