Skip to main content

Dunia

Koperasi makanan New York lulus usul boikot produk Israel

Park Slope Food Coop
Melalui keputusan itu, koperasi berkenaan menyertai gerakan boikot antarabangsa dengan menghentikan penjualan beberapa produk dari Israel, termasuk mesin air berkarbonat serta hasil pertanian import. -Foto Park Slope Food Coop

NEW YORK: Park Slope Food Coop, sebuah koperasi makanan di New York, Amerika Syarikat, meluluskan usul untuk memboikot semua barangan buatan Israel selepas pengundian dalam kalangan ahlinya.

Koperasi yang mempunyai lebih 15,000 ahli di Brooklyn itu membuat keputusan tersebut dalam mesyuarat agung tahunan yang dihadiri ratusan ahli malam semalam.

Melalui keputusan itu, koperasi berkenaan menyertai gerakan boikot antarabangsa dengan menghentikan penjualan beberapa produk dari Israel, termasuk mesin air berkarbonat serta hasil pertanian import.

Proses pengundian dilaporkan berlangsung dalam suasana tegang dan mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejak beberapa bulan lalu.

Penyokong usul berkenaan berkata langkah itu diambil sebagai tanda solidariti terhadap isu kemanusiaan serta bantahan terhadap tindakan ketenteraan Israel di Asia Barat.

Bagaimanapun, pihak yang menentang berpendapat keputusan itu tidak wajar kerana melibatkan sebuah institusi komuniti tempatan dalam isu geopolitik antarabangsa.

Park Slope Food Coop ditubuhkan pada 1973 dan dikenali dengan model koperasi unik yang mengkehendaki setiap ahli menyumbang tenaga kerja sebagai syarat mendapatkan barangan runcit pada harga lebih rendah.

 

Must Watch Video

Advertisement