WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memperincikan pembangunan pelbagai teknologi termasuk pendarat robotik, dron lompat dan kenderaan permukaan dalam usaha Amerika Syarikat (AS) membina pangkalan kekal di bulan.
Menurut laporan BBC, syarikat angkasa milik pengasas Amazon, Jeff Bezos iaitu Blue Origin, antara beberapa syarikat yang dipilih untuk membangunkan peralatan berkenaan sebagai sebahagian daripada pelan besar penerokaan lunar AS.
AS menyasarkan untuk menghantar semula angkasawan ke bulan sebelum Presiden Donald Trump menamatkan penggalnya pada 2029, dalam masa sama bersaing rapat dengan China yang turut merancang pendaratan manusia menjelang 2030.
China dilaporkan mempercepatkan program angkasanya, termasuk pelancaran kapal angkasa Shenzhou-23 ke stesen angkasa Tiangong, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap NASA dalam perlumbaan angkasa lepas baharu.
Pada Mac lalu, NASA mengumumkan program bernilai AS$20 bilion untuk membangunkan pangkalan kekal di kutub selatan Bulan menjelang 2032, yang akan menggunakan gabungan tenaga nuklear dan solar.
Pentadbir NASA, Jared Isaacman menegaskan bahawa langkah berkenaan menunjukkan komitmen AS untuk terus menguasai penerokaan bulan dan tidak akan “kehilangan bulan sekali lagi”.
Pangkalan lunar itu dijangka membolehkan eksperimen saintifik dijalankan secara berterusan selain membuka potensi perlombongan sumber dan menjadi batu loncatan bagi misi ke planet Marikh.
Bagaimanapun, ramai pakar berpendapat garis masa ditetapkan NASA terlalu optimistik, terutama berikutan cabaran membangunkan kapal angkasa yang mampu mendaratkan manusia dengan selamat di permukaan Bulan.
Program “Ignition Moon Base” NASA merangkumi tiga fasa, bermula dengan penghantaran pendarat robotik dan dron untuk meneroka serta memetakan permukaan bulan yang mencabar sebelum kehadiran manusia.
Syarikat seperti Blue Origin, Intuitive Machines dan Astrobotic telah dianugerahkan kontrak untuk membangunkan sistem berkenaan, termasuk pendarat Blue Origin yang dikenali sebagai Endurance serta pendarat Griffin-1 milik Astrobotic.
Fasa penerokaan robotik dijangka berlangsung hingga 2029 dengan kira-kira 25 pelancaran dan penghantaran empat tan metrik kargo ke bulan, termasuk peralatan saintifik seperti kamera resolusi tinggi dan sistem pendaratan berasaskan laser.
Langkah seterusnya melibatkan pembinaan kemudahan tenaga termasuk reaktor fisi nuklear serta sistem solar, sebelum manusia dijangka mula menghuni penempatan separa kekal menjelang 2032.
Kawasan kutub selatan bulan menjadi tumpuan kerana dipercayai mengandungi ais beku yang boleh digunakan sebagai sumber air minuman serta menghasilkan oksigen.
Namun, kejayaan keseluruhan rancangan ini bergantung kepada pembangunan kapal pendaratan manusia, termasuk sistem Starship milik SpaceX yang masih berdepan beberapa kelewatan dan cabaran teknikal.