BISNES
Pengeluaran getah asli Malaysia susut 37.3 peratus pada April 2025 - DOSM

Pengeluaran getah asli menurun 37.3% kepada 18,008 tan berbanding Mac 2025, dengan sektor pekebun kecil menyumbang 86% daripada jumlah pengeluaran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia menurun sebanyak 37.3 peratus kepada 18,008 tan pada April 2025 daripada 28,739 tan pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ringkasan AI
- Pengeluaran getah asli menurun 37.3% kepada 18,008 tan berbanding Mac 2025, dengan sektor pekebun kecil menyumbang 86% daripada jumlah pengeluaran.
- Eksport getah asli susut 31.7% kepada 35,901 tan, dengan China kekal sebagai destinasi utama; sarung tangan getah merupakan produk eksport utama bernilai RM1.1 bilion.
- Harga purata lateks pekat dan sekerap masing-masing menurun 7.0% dan 15.8%, dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global, ketegangan perdagangan China-AS, dan pengukuhan ringgit.
Mengenai jumlah stok, Mohd Uzir berkata ia telah menurun sebanyak 6.7 peratus kepada 203,728 tan pada April 2025 berbanding 218,253 tan pada Mac 2025, dengan kilang pemproses getah menyumbang 87.6 peratus daripada jumlah stok, diikuti oleh kilang pengguna getah (12.3 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 35,901 tan pada April 2025, susut sebanyak 31.7 peratus berbanding Mac 2025 (52,531 tan).
"China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, merangkumi 33.3 peratus daripada jumlah eksport pada April 2025, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (14.9 peratus), Jerman (14.2 peratus), India (6.5 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (5.1 peratus)," katanya.
Beliau menambah prestasi eksport itu disumbangkan oleh produk-produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.
Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.1 bilion pada April 2025, turut sebanyak 19.2 peratus berbanding Mac 2025 (RM1.3 bilion).
Sementara itu, DoSM melaporkan harga purata bulanan lateks pekat mencatat penurunan 7.0 peratus (April 2025: 647.20 sen sekilogram; Mac 2025: 696.05 sen sekilogram), manakala harga sekerap turun sebanyak 15.8 peratus (April 2025: 641.27 sen sekilogram; Mac 2025: 761.92 sen sekilogram).
Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula menurun antara 6.9 peratus hingga 13.5 peratus.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran April 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur mengalami trend penurunan dan pemulihan yang bercampur-campur sepanjang April, dipengaruhi oleh isyarat yang tidak menentu daripada pasaran hadapan getah serantau sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan dasar perdagangan AS.
"Sentimen pasaran kekal lemah di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan dan ketegangan perdagangan China-AS yang semakin meningkat, di samping ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS serta kemerosotan harga minyak mentah secara langsung menjejaskan sentimen," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami