KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia turun 4.5 peratus kepada 28,533 tan pada Julai 2023 daripada 29,867 tan yang dicatatkan pada Jun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 24.6 peratus daripada 37,843 tan pada Julai 2023.

Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2023 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 82.5 peratus manakala sektor estet sebanyak 17.5 peratus.

"Jumlah stok getah asli pada Julai 2023 berkurangan 9.9 peratus kepada 143,840 tan daripada 159,718 tan pada Jun 2023.

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.9 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 11.9 peratus dan estet getah sebanyak 0.2 peratus," katanya dalam kenyataan bagi Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia Julai 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,785 tan pada Julai 2023 meningkat 6.0 peratus daripada 48,848 tan pada Jun 2023, disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Mohd Uzir berkata China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2023 diikuti Jerman (9.5 peratus), Pakistan (4.4 peratus), Amerika Syarikat (3.3 peratus) dan Brazil (2.2 peratus).

Menurut DOSM, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 1.5 peratus kepada 490.18 sen sekilogram pada Julai 2023, daripada 497.70 sen sekilogram pada Jun 2023.

Sekerap pula berkurangan 2.2 peratus kepada 471.14 sen sekilogram pada Julai 2023 daripada 481.91 sen sekilogram pada Jun 2023.

"Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula turun di antara 1.5 peratus dengan 2.3 peratus," jelasnya.

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 1.5 peratus kepada US$1.30 sekilogram daripada US$1.32 sekilogram manakala SGP/MYS (Singapura/Malaysia) turun 2.7 peratus kepada US$1.49 sekilogram daripada US$1.53 sekilogram.

Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Julai 2023, trend pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan prestasi bercampur-campur seiring dengan pasaran hadapan getah serantau.

Ini berikutan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global walaupun pengumuman positif oleh Bank Dunia.

Pasaran juga bertindak balas secara negatif terhadap pengukuhan ringgit serta peningkatan dalam pengeluaran getah asli tempatan.

-- BERNAMA