BISNES
Pengeluaran minyak mentah, kondensat kekal stabil pada suku pertama 2025

Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dengan jumlah stabil sebanyak 45.5 juta tong pada suku pertama 2025. - Gambar hiasan Bernama
PUTRAJAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dengan jumlah stabil sebanyak 45.5 juta tong pada suku pertama 2025.
Angka ini menunjukkan daya tahan sektor huluan negara dalam menangani ketidaktentuan pasaran global.
Perkara ini diumumkan menerusi laporan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli, Suku Pertama 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, meskipun terdapat penyusutan tahunan marginal sebanyak 5.2 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu (ST4 2024: -7.3%; 45.7 juta tong), penurunan ini lebih terkawal dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.“Pengeluaran minyak mentah menyusut pada kadar -6.5 peratus, lebih kecil berbanding -9.3 peratus pada suku sebelumnya
“Sementara itu, kondensat mencatatkan penyusutan -2.4 peratus, hampir tidak berubah dari -2.5 peratus sebelumnya,” katanya.
Bagi pengeluaran gas asli pula, ia menurun 2.2 peratus tahun ke tahun, berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan 781.9 bilion kaki padu (ST4 2024: 792.8 bilion kaki padu).
Harga Purata “Lifting” Berpemberat (WALP) untuk minyak mentah dan kondensat turut mencatatkan peningkatan kepada AS$76.4 per tong, naik sedikit berbanding AS$76.3 per tong pada suku keempat 2024.
“Trend ini selari dengan peningkatan harga penanda pasaran global - WTI (AS$71.8) dan Brent (AS$75.8).
“Nilai eksport minyak mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.2 bilion, berbanding RM6.0 bilion sebelumnya.
Thailand kekal sebagai destinasi utama eksport (RM1.9 bilion; 30.9 peratus), diikuti oleh Australia (26.1 peratus) dan Jepun (11.4 peratus).
Namun, eksport keluaran petroleum bertapis menurun kepada RM24.3 bilion (ST4 2024: RM26.5 bilion).
Singapura kekal destinasi utama (RM6.9 bilion; 28.3 peratus), diikuti Indonesia (21.4 peratus) dan Australia (15.5 peratus).
Eksport LNG turut berkurangan kepada RM15.5 bilion daripada RM16.7 bilion. Jepun terus menjadi pasaran utama (46 peratus), disusuli Republik Korea (24.3 peratus) dan China (20.1 peratus).
Nilai import minyak mentah dan kondensat menurun kepada RM13.6 bilion, berbanding RM15.1 bilion sebelumnya.
Arab Saudi terus menjadi negara asal utama dengan sumbangan 52.7 peratus diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.2 peratus) dan Sudan (6.0 peratus).
Bagi keluaran petroleum bertapis, import menurun kepada RM23.2 bilion (ST4 2024: RM25.4 bilion).
Singapura kekal sebagai pembekal terbesar (42.5 peratus), disusuli Republik Korea (11.9 peratus) dan India (8.1 peratus).
Import LNG pula mencatatkan penurunan kepada RM1.9 bilion, dengan Australia sebagai satu-satunya sumber bekalan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami