Skip to main content

Bisnes

Pengukuhan sistem statistik, penggunaan data dan AI teras kejayaan RMK13 - Fadillah

KUALA LUMPUR, June 4 -- Deputy Prime Minister and Minister of Energy Transition and Water Transformation (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, speaks at a Ministerial Session on “Powering Malaysia’s Next Growth Chapter: Energy, Economy & Digital In Sync” at the Energy Transition Conference 2026 here today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Fadillah berkata sektor strategik seperti peralihan tenaga, perubahan iklim dan transformasi sektor air memerlukan sokongan data komprehensif bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak terbaik kepada rakyat dan negara. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh Sistem Statistik Negara (SSN) serta memperluas penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras utama dalam proses membuat keputusan bagi memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan berasaskan data kini menjadi semakin kritikal dalam mendepani cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi dunia, perubahan geopolitik, transformasi digital, perubahan iklim serta perkembangan pesat teknologi termasuk AI.

Beliau berkata data dan statistik rasmi bukan lagi sekadar sumber maklumat, sebaliknya merupakan aset strategik negara yang menyokong dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh daya tahan negara.

“Kejayaan RMK13 memerlukan data dan statistik yang berkualiti, berintegriti serta bertepatan masa untuk menyokong proses perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian dasar secara lebih berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Terdahulu, Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara (MT MSDN) yang dihadiri Ahli Tetap MSDN termasuk Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Fadillah berkata Malaysia terus mencatat prestasi ekonomi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar pembangunan yang dirancang berasaskan data.

Sehubungan itu, beliau berkata agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) perlu terus diperkasa melalui kerjasama strategik antara kementerian, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, institusi akademik serta badan penyelidikan.

“Dalam era digital ini, keupayaan mengintegrasikan data daripada pelbagai sumber secara selamat, beretika dan berkesan amat penting bagi membolehkan kerajaan memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh terhadap cabaran semasa serta mempercepatkan proses membuat keputusan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata beliau turut menekankan kepentingan membangunkan pangkalan data bersepadu, memperkukuh analitik data raya serta memanfaatkan AI bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing negara.

Selain itu, beliau berkata sektor strategik seperti peralihan tenaga, perubahan iklim, transformasi sektor air dan pembangunan mampan turut memerlukan sokongan data komprehensif bagi memastikan setiap dasar serta pelaburan yang dilaksanakan memberi impak terbaik kepada rakyat dan negara. 

Fadillah berkata mesyuarat itu turut meneliti beberapa inisiatif strategik termasuk penyeragaman piawaian statistik rasmi negara, pengukuhan tadbir urus data, integrasi data pentadbiran, pembangunan pangkalan data bakat sains, teknologi dan inovasi, pemerkasaan data bagi pembangunan belia serta pengurusan data aset jalan negara.

“Kesemua inisiatif ini penting dalam usaha membangunkan ekosistem data negara yang lebih bersepadu, berintegriti dan berpaksikan keperluan pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement