Golongan peniaga memerlukan lebih banyak seminar mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan untuk lebih memahami cukai baharu berkenaan, kata pemilik restoran, Subramaniam Joseph.

"Setakat ini, seingat saya, belum ada satu seminar pun yang dianjurkan untuk kami (penjaja dan peniaga kecil India) di Cheras. Saya harap seminar-seminar ini akan dibuat secepat mungkin untuk mendidik kami mengenai CBP," katanya pada majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2014 di sini pada Selasa.

Mengenai kesan CBP ke atas perniagaan, beliau berpendapat ia hanya akan menampakkan kesan selepas 1 April tahun depan.

"Bagaimanapun, saya tidak menafikan kami risau kalau harga akan naik tetapi buat masa sekarang, tidak ada apa yang konkrit," katanya.

Mengenai peruntukan bajet 2015 bagi usahawan muda India, Subramaniam berkata, penjaja dan peniaga India kini menunggu perkembangan mengenai geran tersebut.

Dalam bajet berkenaan, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan kepada Skim Pembiayaan Usahawan India bagi membantu 5,000 peniaga India termasuk penjaja dan peniaga kecil.