KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini mencatat kemajuan dalam usaha bagi penswastaan Boustead Holdings Berhad (BHB).

Dalam kenyataannya hari ini, LTAT berkata pada masa ini pegangannya dalam BHB adalah 90.49 peratus yang dikumpul daripada pemerolehan melalui pasaran terbuka serta penerimaan daripada pemegang saham menerusi.

"Bagi mengelakkan keraguan, pada tarikh notis tawaran, pegangan saham LTAT dalam BHB adalah sebanyak 59.42 peratus," katanya.

LTAT telah mengeluarkan notis mengenai tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada Lembaga Pengarah BHB pada 2 Mac 2023, bagi baki 40.58 peratus saham tidak dimilikinya untuk tawaran tunai sebanyak RM0.855 sesaham.

Menurutnya, dokumen tawaran berserta borang penerimaan dan pindahan saham telah dihantar kepada pemegang saham BHB pada 23 Mac, 2023, dan diikuti dengan pekeliling nasihat bebas dikeluarkan oleh Kenanga Investment Bank Berhad pada 17 April, 2023, yang mengesyorkan pemegang saham untuk menerima tawaran itu.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai detik penting dalam urus niaga korporat LTAT kerana membolehkannya menyahsenaraikan BHB dalam tempoh tarikh tutup pertama pada 22 Mei, 2023, tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperolehi bagi memenuhi syarat tawaran.

"Namun begitu, tawaran ini kekal bersyarat sehingga mendapat kelulusan badan kawal selia," katanya.

Menerusi penswastaan itu, LTAT dapat mempercepat usaha pemulihan BHB sebagai sebahagian daripada matlamat utama dalam menstabilkan semula portfolio pelaburannya dan memastikan kemampanan dana dalam jangka panjang.

"Pemulihan tersebut akan melibatkan penstrukturan semula kumpulan, rasionalisasi kewajipan membayar hutang BHB dan pelaksanaan aktiviti penciptaan nilai," katanya. - BERNAMA