IPOH: Belanjawan Perak 2023 yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ memperuntukkan RM1.19 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM395 juta diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM794 juta untuk perbelanjaan mengurus.

“Peruntukan bagi tujuan pembangunan yang meningkat sebanyak RM93 juta berbanding tahun 2022 dengan kebanyakannya disalurkan bagi tujuan program-program kesejahteraan rakyat.

“Peningkatan ini mengambil kira keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat secara keseluruhan.

“Asbab utama peningkatan adalah komitmen bagi projek fizikal merangkumi pembinaan, pembaikan, dan kerja naik taraf pelbagai infrastruktur dan fasiliti serta program kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Khamis.

Belanjawan tersebut menggariskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Kelestarian Alam Sekitar, Keterjaminan Bekalan Makanan, dan Pembangunan Modal Insan dan Belia.

Tambah Saarani, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember ini juga dijangka akan ditutup dengan defisit RM30 juta.

Dalam pada itu, Saarani berkata kedudukan kewangan kerajaan apabila berjaya merekodkan kutipan hasil melepasi angka RM1 bilion.

Katanya, kedudukan itu mengulangi prestasi pada tahun 2016 hingga 2019 iaitu pencapaian sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia dan negara.

“Kutipan hasil tahun semasa juga telah melepasi anggaran RM1.032 bilion. Pencapaian ini sekali gus telah mengukuhkan aliran tunai kerajaan negeri.

"Bersandarkan perkembangan itu, saya yakin, kerajaan negeri akan berjaya menutup akaun pada tahun ini dalam kedudukan surplus," katanya.

Jelas beliau, prestasi itu telah meletakkan negeri kembali merekodkan momentum pengukuhan kedudukan kewangan.

Tambahnya, kedudukan kewangan yang mengukuh itu juga berjaya menampung kurangan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri yang kini telah berubah menjadi positif setelah selama ini dalam keadaan negatif.