Penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Jenjarom

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.45 tengah hari dan melibatkan sebuah motosikal Yamaha LC135, Proton Satria serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom Kuala Langat tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.45 tengah hari dan melibatkan sebuah motosikal Yamaha LC135, Proton Satria serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal itu datang dari arah Jalan Akasia menghala ke Jalan Sungai Rambai dan dipercayai keluar dari simpang sebelum dilanggar oleh Proton Satria yang sedang bergerak lurus di laluan utama.
"Akibat perlanggaran, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan manakala Proton Satria melanggar besi penghadang sebelum berpusing dan masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire.
"Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 20-an, mengalami kecederaan parah termasuk putus pergelangan tangan kanan serta kecederaan pada kaki kanan dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut," katarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah menjalani pembedahan tangan kanan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Mohd Akmalrizal berkata, pemandu Proton Satria, lelaki tempatan berusia 20-an, dan pemandu Toyota Vellfire, lelaki tempatan berusia 60-an, tidak mengalami sebarang kecederaan. Semua individu terlibat memiliki lesen memandu sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Insp Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


