KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan dijangka melebihi US$40 bilion tahun ini, dengan kedua-dua negara bersedia memperkukuh hubungan ekonomi selepas rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara mereka dimuktamadkan.
Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia yang akan menamatkan perkhidmatannya, Yeo Seung-bae berkata Korea Selatan kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia, meningkat daripada kedudukan kesembilan, dengan perdagangan dua hala berkembang daripada kira-kira US$20 bilion kepada hampir US$30 bilion dalam tempoh hanya lima tahun.
Beliau berkata jumlah perdagangan antara kedua-dua negara dijangka melebihi US$40 bilion tahun ini.
"Sebaik sahaja FTA kita berkuat kuasa, Korea akan menjadi antara lima rakan dagang terbesar Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis perpisahan yang diadakan di kediamannya di sini pada Khamis.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Yeo menegaskan bahawa pertumbuhan itu mencerminkan momentum yang lebih luas dalam Perkongsian Strategik Korea Selatan-Malaysia, khususnya dalam kerjasama ekonomi dan keselamatan.
Hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada November 2024, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Seoul.
Memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama industri pertahanan kemudiannya ditandatangani pada 2025, sekali gus membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang pertahanan dan teknologi.
Yeo berkata dua jet pejuang FA-50 pertama dari Korea Selatan dijangka tiba di Malaysia bulan ini, manakala penyerahan kesemua 18 pesawat itu ke Pangkalan Udara Kuantan dijadualkan selesai menjelang 2028.
Beliau berkata kerja pemasangan sistem antimisil permukaan ke udara Haegung pada dua Kapal Misi Pesisir "Batch 2" (LMSB2) Malaysia, iaitu KD Jebat dan KD Lekiu, juga sedang menunjukkan kemajuan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Korea Selatan dapat mengambil bahagian dalam projek kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) Malaysia, sambil menyatakan bahawa kerjasama sedemikian akan memperkukuh keupayaan pertahanan Malaysia selain membuka peluang dalam industri pembinaan kapal dan rantaian bekalan dua hala.
Yeo berkata syarikat Korea Selatan sedang meneroka peluang dalam industri nadir bumi di peringkat huluan dan hiliran di Perak dan Pahang.
Beliau turut mengetengahkan peningkatan pelaburan Korea Selatan di Malaysia, termasuk pengembangan kemudahan pembuatan bateri Samsung SDI dan operasi semikonduktor Simmtech, selain permulaan pemasangan kenderaan Hyundai secara tempatan.
Mengimbas kembali tempoh empat tahun perkhidmatannya sejak tiba di Kuala Lumpur pada Oktober 2022, Yeo menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan persahabatan yang dihulurkan oleh semua pihak yang ditemuinya sepanjang bertugas di negara ini.
"Malaysia akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Apabila mengenang kembali tempoh empat tahun ini, saya bangga dengan apa yang telah dicapai oleh kedua-dua negara kita.
"Saya akan sentiasa mengingati anda serta kebaikan, kemurahan hati dan layanan mesra yang diberikan kepada saya sepanjang berada di sini. Walaupun saya akan meninggalkan Malaysia tidak lama lagi, negara ini akan sentiasa terpahat di hati saya," katanya.
-- BERNAMA