ISTANBUL: Seorang petugas Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, menurut agensi itu pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Pemangku Ketua Pesuruhjaya UNRWA Christian Saunders berdukacita atas kematian seorang petugas agensi itu dan kecederaan tiga yang lain susulan serangan Israel berhampiran lokasi mereka bekerja di Jabalia, Gaza.
"Mereka sedang menjalankan tugas rutin di sebuah telaga air bagi menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat setempat," menurut UNRWA menerusi platform media sosial X.
Agensi itu memaklumkan jumlah petugas UNRWA dan individu lain yang menyokong operasinya yang terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza kini meningkat kepada 397 orang.
UNRWA turut menggesa supaya pekerja kemanusiaan dilindungi pada setiap masa.
Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 74,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 176,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu.
Tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin berkenaan meskipun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025.
-- BERNAMA-ANADOLU