KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menganjurkan persidangan kebangsaan secara dalam talian di mana tahun ini tumpuannya adalah terhadap pengukuhan usaha membanteras jenayah kewangan.

Dengan tema ‘Shared Responsibility In Strengthening AML/CFT Compliance: Risks, Challenge and Collaborations’, Persidangan Kebangsaan SSM 2023 menghimpunkan pengarah syarikat, setiausaha syarikat, akauntan, juruaudit, ahli akademik, peguam dan badan-badan korporat untuk berbincang sekitar usaha pencegahan pengubahan wang haram dan pembanterasan pembiayaan keganasan (AML/CFT).

Membaca teks ucapan perasmian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof menyatakan bahawa tema yang diangkat tahun ini tepat pada ketika ancaman dan trend terkini mempergunakan entiti korporat jenayah kewangan semakin meningkat.

Katanya, ketika ini, Malaysia mematuhi 20 saranan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), menunjukkan keseriusan Malaysia dalam menangani jenayah kewangan juga membuktikan komitmen dan dedikasi negara membasmi sebarang aktiviti kewangan haram.

“Usaha kita dalam melindungi integriti sistem kewangan adalah proses mencabar dan berterusan yang memerlukan usaha bersama daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan awam juga sektor swasta, disokong rangkaian anti-pengubahan wang haram dan membanteras pembiayaan keganasan global.

“Saya percaya persidangan ini adalah satu langkah ke arah yang betul mendepani cabaran dalam melawan jenayah kewangan sebagai satu tanggungjawab bersama.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, sebagai sebuah badan kawal selia dan tadbir urus korporat, SSM sentiasa menyokong agenda negara dalam memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz

Dalam menyiapkan Malaysia menuju penilaian bersama FATF untuk tahun 2024 hingga 2025, SSM memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk mengeluarkan garis panduan berjudul “Guideline For The Reporting Framework For Beneficial Ownership Of Legal Persons” serta kertas konsultatif bagi libat-urus dalam mencadangkan pindaan-pindaan kepada Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 ke arah memperkukuhkan kerangka pelaporan pemunya benefisial.

Pada tahun ini, SSMNC mengetengahkan 11 sesi plenari dengan tajuk-tajuk yang menarik bagi perbincangan bersama 48 ahli-ahli panel terdiri daripada kalangan pengamal sektor korporat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang.

11 sesi plenari dengan tajuk-tajuk yang menarik bagi perbincangan bersama 48 ahli-ahli panel.

Antara topik yang dibincangkan termasuk "Preventing Money Laundering and Terrorism Financing-Malaysia’s Risk Map", “Stepping Up the Game. Leveraging on Emerging Technology to Fight Corruption”, “Be Scam Aware”, “Prevention and Good Practice in NPO Sector against Money Laundering & Terrorism Financing” dan “Enhancement to the Corporate Rehabilitation Framework”.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Julai ini juga merekodkan penyertaan tertinggi iaitu seramai 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara.

Fokus Perkasa Usaha Banteras Jenayah Kewangan