Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) optimis mencapai sasaran jualan sebanyak 205,000 unit kenderaan pada akhir tahun ini di sebalik situasi mencabar dalam industri automotif sekarang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu angka jualan semasa menyokong unjuran itu di mana dalam tempoh sembilan bulan tahun ini syarikat telah merekodkan kenaikan dalam jualan berbanding tahun lepas.

Menurut Aminar Rashid, dari bulan Januari hingga September syarikat tersebut berjaya menjual 157,527 unit kenderaan yang merupakan peningkatan 12 peratus berbanding 140,317 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu katanya disokong oleh model nombor satunya, Axia.

Perodua
Datuk Aminar Rashid semasa sesi perjumpaan dengan wakil Media Malaysia di Osaka. - Gambar Astro AWANI
Axia kini ialah model terlaris Perodua, mengambil alih dari Myvi yang telah mendominasi posisi itu selama sembilan tahun. Katanya lagi untuk tahun ini sahaja jualan Axia dijangka melepasi 105,000 unit

"Model Axia merupakan penyumbang utama kepada keseluruhan jualan syarikat dengan angka jualan dari Januari hingga September lalu ialah sebanyak 76,107 unit," katanya.

Aminar Rashid berkata demikian semasa perjumpaan dengan wakil media Malaysia selepas lawatan ke kilang Daihatsu di Osaka, baru-baru ini.

Beliau namun mengakui jualan model Alza dan Myvi berkurang pada tahun ini.

Ini apabila dalam tempoh Januari hingga September lalu, hanya sebanyak 52,560 unit Myvi berjaya dijual satu penurunan daripada 65,245 unit pada tempoh sama tahun lalu.

Jualan Alza juga dedahnya berkurang daripada 43,014 unit tahun lalu kepada hanya 28 , 841 unit tahun ini.

Secara amnya, jualan volum industri (TIV) di Malaysia juga mengalami penurunan berbanding sebelumnya.

Sehubungan itu, Aminar Rashid mendedahkan berdasarkan situasi ekonomi semasa, fokus utama syarikat pengeluar kereta kedua negara itu ialah mengurangkan stok berlebihan dan pada masa sama memastikan tahap kecekapan yang lebih tinggi.

Beliau turut memaklumkan syarikat telah mula mengurangkan perbelanjaan modal dan sedang mengambil langkah meningkatkan produktiviti. Kaedah itu katanya ialah sesuatu yang Perodua pelajari dari Daihatsu iaitu rakan kongsi strategiknya memandangkan ia telah mempunyai pengalaman lebih 100 tahun dalam industri permotoran.

Dalam tempoh itu, Daihatsu berjaya mengharungi pelabagai cabaran dan situasi yang datang.