KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) komited sepenuhnya kepada pematuhan berkaitan dengan isu buruh dan berusaha menjadi antara industri pertama di rantau ini menjadikan pematuhan sosial sebagai ciri-ciri jualan uniknya.

Presiden MARGMA Dr Supramaniam Shamugan berkata persatuan itu telah menerajui usaha tersebut sejak 2018 apabila ia mendukung dasar sifar hutang.

Ia juga memulakan langkah pemulihan yang dijalankan oleh setiap ahlinya bagi memisahkan mereka daripada stigma buruh paksa, menggunakan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa sebagai prinsip panduan, katanya.

"Industri ini sememangnya sedang bergerak menuju ke arah hala tuju yang betul dan sudah pastinya akan menjadi industri model untuk dicontohi dalam tadbir urus tenaga kerja yang saksama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Supramaniam berkata MARGMA berhasrat untuk bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Bagi tujuan itu, katanya, MARGMA telah bertemu dengan CBP untuk mengadakan perbincangan baru-baru ini.

Beliau berkata MARGMA telah membentuk unit alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta pasukan petugas khas untuk mendidik serta menyedarkan secara aktif ahli-ahli dan pekerja mereka mengenai 11 petunjuk ILO berkaitan buruh paksa.

"Usaha aktif ini dilakukan menerusi perkongsian dengan ILO, Amerika Syarikat, United Kingdom, kedutaan/suruhanjaya tinggi Kesatuan Eropah di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA