KUALA LUMPUR: Persatuan peruncit-peruncit utama tempatan secara kolektif menggesa kerajaan memikirkan semula dan menarik balik cadangan bagi mengenakan Cukai Barangan Mewah

Mengenakan Cukai Barangan Mewah mungkin menjadikan harga di Malaysia tidak kompetitif dan berkemungkinan menghalang ketibaan pelancong, menurut satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan itu hari ini.

Selain itu, ia akan menjadikan rakyat Malaysia tertarik untuk membeli di luar negara dan menyebabkan berlakunya pengaliran wang keluar negara, kata mereka.

"Ini adalah cadangan yang merugikan - kehilangan ketibaan pelancong asing dan kehilangan rakyat Malaysia daripada membeli dalam negara, ditambah pula dengan kehilangan pertukaran asing.

"Walaupun mekanisme boleh direka untuk pelancong asing menuntut balik cukai barangan mewah itu, rakyat Malaysia pula akan tertarik untuk membeli-belah di luar negara."

Kerajaan akan perkenal Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini - PM

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia, Persatuan Pelancongan BBKLCC Kuala Lumpur, Persatuan Peruncit Jalan Batu, Pertubuhan Peruncit Bumiputra, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Industries Unite, Persatuan Peruncit Malaysia, dan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia.

Mereka mengatakan hanya produk mewah yang harganya sangat mahal sepatutnya mencukupi untuk memenuhi kriteria (cukai barangan mewah) jika falsafah ekonomi adalah untuk mengenakan cukai kepada orang kaya.

"Barang-barang besar seperti kereta sukan, motosikal lumba, kapal layar dan kapal terbang boleh dipertimbangkan," kata mereka, sambil menambah pendekatan holistik harus diambil yang akan mengimbangi antara risiko dan ganjaran serta kesan pengganda melalui aktiviti perniagaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini, dengan nilai tertentu terhad kepada jenis barangan, termasuk jam tangan dan barangan fesyen bagi meningkatkan hasil negara.

-- BERNAMA