KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik, sambil menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang telah banyak mengabdikan kehidupan untuk berkhidmat kepada negara.
Loke berkata mendiang yang juga menteri pengangkutan paling lama berkhidmat, iaitu dari 1986 hingga 2003, telah meletakkan asas penting kepada infrastruktur pengangkutan negara termasuk pembangunan Westports dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Advertisement
“Westport yang juga sebahagian daripada Pelabuhan Klang bersama Northport telah dibangunkan di bawah kepimpinan Tun Ling, dan sejak itu berkembang menjadi antara hab pemunggahan sementara kapal utama dunia serta antara pelabuhan kontena paling penting pada peringkat global ketika ini.
“PTP yang turut dibangunkan semasa tempoh perkhidmatan beliau, juga telah berkembang menjadi antara pelabuhan terkemuka dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut dimulakan semasa tempoh Dr Ling sebagai menteri pengangkutan, dan ia terus berfungsi sebagai pintu masuk utama penerbangan negara.
Mengimbau kunjungan terakhirnya ke kediaman Dr Ling pada 4 Nov tahun lepas, Loke berkata beliau telah menyampaikan sekeping foto kenang-kenangan Westport sebagai penghargaan terhadap pencapaian Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia.
“Disebabkan kesihatan beliau ketika itu, beliau tidak mampu menzahirkannya dengan kata-kata. Namun, riak wajah dan air matanya jelas menggambarkan rasa bangga yang mendalam terhadap apa yang telah dibangunkan di bawah kepimpinannya,” katanya.
Walaupun berbeza fahaman politik, Loke berkata beliau sentiasa menyanjung tinggi Dr Ling atas semangat kentalnya dalam arena politik serta sumbangan berterusan terhadap sistem pengangkutan negara.
“Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dalam mengharungi detik sukar ini. Semoga bersemadi dengan aman dan legasi perkhidmatan beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya.
Dr Ling meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua cahaya mata lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
Bekas Presiden dan Presiden Kehormat Seumur Hidup MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003.
-- BERNAMA