SHENZHEN (CHINA): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pertumbuhan dan pembangunan mestilah memberikan manfaat kepada rakyat dan tidak seharusnya melebarkan lagi jurang ketidaksamaan atau membiarkan sebarang bentuk pengabaian dan penindasan.
“Ukuran sebenar kemajuan ekonomi pada akhirnya terletak pada peluang yang diwujudkan serta kehidupan yang diubah,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026 di sini hari ini.
Presiden China, Xi Jinping, turut hadir dan menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak itu.
Sebagai antara negara pengasas Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), beliau berkata Malaysia mengimpikan sebuah rantau di mana setiap negara mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju masa depan mereka sendiri.
“Visi kami di Malaysia adalah sebuah rantau Asia-Pasifik di mana negara anggotanya kekal bebas untuk menentukan masa depan mereka sendiri, di mana kemajuan teknologi menyumbang kepada kemajuan umat manusia, dan di mana manfaat daripada integrasi ekonomi dikongsi secara lebih saksama dalam kalangan rakyat.”
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata komuniti perniagaan turut memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan rantau Asia-Pasifik malah dunia secara keseluruhan.
“Pelaburan yang anda usahakan, teknologi yang anda bangunkan, perkongsian yang anda jalinkan akan menentukan landskap ekonomi rantau kita untuk tahun-tahun dan dekad akan datang.”
“Dengan pengaruh ini, sudah tentu, datangnya tanggungjawab untuk memastikan peluang yang terhasil daripada transformasi ekonomi melangkaui pusat kekayaan, yang telah sedia ada serta kemajuan teknologi untuk memberikan impak kepada seluruh masyarakat,” kata Anwar.
Perdana Menteri tiba di Shenzhen, wilayah Guangdong yang terletak di utara Hong Kong pada tengah malam dari Manila, bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33.
Shenzhen yang sering digelar sebagai Lembah Silikon China, menempatkan beberapa syarikat teknologi utama termasuk Huawei, Tencent, BYD dan DJI, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai hab inovasi dan teknologi terkemuka di negara itu.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 negara anggota yang bersempadan dengan Lautan Pasifik, bermatlamat menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Rantau itu merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia dan hampir separuh daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus ekonomi global.
Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC iaitu Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai APEC pada 1993 manakala Chile pada 1994, diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998.
-- BERNAMA